PRN: Nik Abduh tak disenarai, Ahmad Yakob pertahan Pasir Pekan

PRN: Nik Abduh tak disenarai, Ahmad Yakob pertahan Pasir Pekan

Annuar Musa juga tidak tercalon walaupun namanya lulus saringan Masjlis Syura Ulama.

PAS tidak mencalonkan bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Ahmad Yakob kekal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan pada PRN Kelantan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah kekal mempertahankan DUN Panchor, manakala Ketua Bersatu negeri, Kamarudin Md Nor akan bertanding di Air Lanas.

Bagaimanapun, nama bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tidak disenaraikan sebagai calon Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, bekas setiausaha Agung Umno yang menyertai PAS Annuar Musa juga tidak disenaraikan PAS sebagai calon.

Pengumuman 45 Calon PN Kelantan itu dibuat Ahmad Yakob yang mana menampilkan 51.11% atau 23 muka baharu.

“Suatu sejarah di Kelantan di mana colon di Kelantan terdiri dari pelbagai, ada di kalangan ulama, teknokrat, ahli korporat dan profesional.

“Calon ulama 10 orang, profesional lapan orang, orang muda lima orang, teknokrat 10, aktivis 10, dan wanita dua,” katanya ketika umum senarai penuh calon PN di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Sebelum ini, Nik Abduh menegaskan tiada sebarang cubaan memadamkan legasi Allahyarham bapanya, Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekali pun namanya tidak tercalon.

Beliau berkata, menjadi calon pilihan raya bukan sebahagian daripada legasi “Tok Guru”, sebaliknya legasi sebenar mempertahankan perjuangan Islam dan kerajaan Kelantan.

Beliau juga menegaskan akan kekal bersama perjuangan PAS.

Sebelum ini, PAS menolak dakwaan parti itu cuba menafikan Nik Abduh bertanding pilihan raya dan mematikan legasi bapanya.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin, berkata pimpinan PAS Kelantan sendiri yang mencadangkan nama Nik Abduh untuk PRN akan datang dan ia diluluskan Majlis Syura Ulama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.