
Fikri Hakim Kamaruddin, 27, dan Nurul Filzatun Sahirah Abdul Aziz, 28, sebaliknya dijatuhi hukuman penjara 30 tahun. Mahkamah turut memerintahkan Fikri dikenakan sebatan 12 kali.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Vazeer Alam Mydin Meera, berkata ketika Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman ke atas perayu pada 2021, hukuman bagi kesalahan membunuh adalah mati mandatori.
Vazeer berkata, berikutan pindaan undang-undang itu, hukuman mati mandatori telah dimansuhkan dan mahkamah diberi pilihan atau budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan bagi pesalah lelaki.
“Selepas mempertimbangkan mitigasi dan fakta kes, kami menggunakan budi bicara kami untuk menggantikan kepada hukuman penjara selama 30 tahun ke atas kedua-dua perayu (Fikri dan Nurul Filzatun) dari tarikh tangkapan,” katanya sambil menambah Fikri juga akan dikenakan 12 sebatan rotan.
Panel itu turut dianggotai dua lagi hakim iaitu Hadhariah Syed Ismail dan Wong Kian Kheong.
Ia merupakan kes pembunuhan pertama yang didengar oleh Mahkamah Rayuan selepas pindaan undang-undang itu pada April lalu.
Ketika menolak rayuan mereka terhadap sabitan, Vazeer berkata, selepas menimbangkan keterangan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan terdapat niat bersama oleh kedua-dua perayu untuk melakukan kesalahan itu.
Beliau juga berkata, tiada percanggahan dalam keterangan yang diberikan oleh jururawat dan doktor dalam perbicaraan itu.
Fikri dan Nurul Filzatun didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi, Johor Bahru pada 31 Okt 2021 kerana membunuh bayi perempuan mereka di sebuah rumah di Taman Bandar Penawar Utama, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor Bahru antara 10.50 malam pada 12 Dis 2017 dan 10.41 pagi keesokan harinya.
Berdasarkan fakta kes, Nurul Filzatun telah melahirkan bayi itu di sebuah rumah dan telah dibawa ke wad kecemasan Hospital Kota Tinggi selepas mengalami pendarahan selepas bersalin.
Dia memaklumkan kepada seorang jururawat di wad kecemasan bahawa dia telah melahirkan bayi tetapi bayi itu telah diambil teman lelakinya.
Pada 5 Dis 2017, Fikri memberitahu seorang pegawai polis bahawa bayi itu telah dikebumikan dan dia kemudian membawa pasukan polis ke kawasan hutan di Kampung Panti Kota Tinggi lokasi di mana bayi itu dikebumikan.
Pasukan itu kemudian menggali dan menemukan mayat bayi itu.
Hasil bedah siasat mendapati bayi seberat 1.8kg itu masih hidup ketika dilahirkan dan punca kematian disebabkan lemas.
Mayat bayi itu ditemukan dengan stokin kecil berwarna hitam dan biru yang disumbat ke dalam mulutnya. Fikri dan Nurul Filzatun ditahan pada 5 Dis 2017.