
Ahamed Kameel Mydin Meera dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, walaupun sebahagian besar ekonomi Kelantan berasaskan pertanian, negeri pantai timur itu berpotensi besar dalam perlombongan, pelancongan dan kraftangan tradisional.
Katanya, penyediaan dan pembangunan modal insan untuk mengekstrak nilai ekonomi daripada sektor itu akan memberi manfaat besar kepada Kelantan.

“Negeri itu sepatutnya mempunyai pendidikan vokasional dan teknikal disesuaikan dengan pertanian, perlombongan dan pelancongan, serta menggalakkan belia kekal di Kelantan.
“Jika menekankan industri hiliran, pertanian pun boleh membawa pendapatan baik kepada negeri itu,” katanya kepada FMT.
Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kelantan hanya menyumbang 1.8% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara tahun lalu.
Pengerusi Barisan Nasional dan presiden Umno itu menyalahkan kerajaan PAS atas pengeluaran rendah dengan berkata, rakyat Kelantan terpaksa berhijrah ke tempat lain untuk mencari peluang pekerjaan kerana kekurangan pembangunan di negeri itu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Amar Nik Abdullah pula berkata, Kelantan patut dibandingkan dengan Pahang dan Negeri Sembilan, bukan Kuala Lumpur, Selangor serta Pulau Pinang.
Ahamed bersetuju dengan Amar, tetapi menegaskan KDNK per kapita Kelantan tahun lalu lebih rendah daripada negara jirannya Terengganu, Pahang dan Perak.
Pada 2022, ekonomi Kelantan berkembang sebanyak 4.3%, selepas menjana KDNK RM26.9 bilion. Sebagai perbandingan, KDNK Negeri Sembilan meningkat sebanyak 6.4% kepada RM50.8 bilion, Pahang meningkat sebanyak 10.8% kepada RM61.4 bilion, manakala Terengganu meningkat sebanyak 5.9% kepada RM37.3 bilion.
Ahamed berkata, Kelantan perlu menambah baik prasarana dan kemudahannya segera supaya setanding negeri lain.
“Apakah yang dilakukan negeri untuk mengurangkan masalah banjir berulang? Ketika ini, negeri itu sepatutnya mempunyai pakar dalam tebatan banjir dengan sistem moden sudah dilaksanakan.”
Sementara itu, Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyeru kerajaan persekutuan meningkatkan taraf ekonomi Kelantan melalui “persekutuan fiskal”.
Katanya, memberi kuasa autonomi lebih besar kepada Kelantan boleh mendatangkan hasil ekonomi berbeza kerana negeri itu menderita akibat pertarungan politik berterusan antara PAS dan kerajaan persekutuan.
“Konflik politik boleh menghalang hasil ekonomi, merugikan populasi yang pandangannya bertentangan kerajaan persekutuan. Perpecahan ini perlu dirapatkan demi kepentingan pembangunan negara.”