KBS masukkan gusti dalam ‘1 sukan, 1 fasiliti’

KBS masukkan gusti dalam ‘1 sukan, 1 fasiliti’

Kementerian Belia dan Sukan setuju sukan itu mampu melahirkan bakat tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Adam Adli berkata kerajaan berkomunikasi dengan Ayez Shaukat Fonseka untuk membantunya mengembangkan sukan gusti.
PETALING JAYA:
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang berusaha membantu jurulatih gusti tempatan, Ayez Shaukat Fonseka, untuk meneruskan perjuangannya mengembangkan sukan ekstrem itu.

Timbalan Menteri Adam Adli berkata kementerian bersetuju memasukkan sukan gusti dalam program satu sukan, satu fasiliti dan perbincangan sedang giat dijalankan.

“Sebenarnya ada komunikasi berterusan yang agak aktif antara KBS dengan jurulatih gusti itu. Ada tawaran sewaan (premis) di Kompleks Rakan Muda di Bukit Kiara, namun tempat itu kurang sesuai dengan keperluan sukan mereka.

“Kita usaha sehabis baik untuk pastikan mereka ini ada tempat latihan dan sebagainya,” katanya dalam temubual bersama FMT, baru-baru ini.

FMT sebelum ini melaporkan pusat latihan gusti, APAC Wrestling, yang diusahakan Shaukat sejak 2014 terpaksa ditutup sementara disebabkan kekangan kewangan.

Shaukat memberitahu pelbagai usaha dilakukan untuk mengekalkan kesinambungan sukan ekstrem itu, termasuk berjumpa Menteri Hannah Yeoh.

Usai perjumpaan itu, Hannah mengarahkan jabatannya mengadakan perbincangan susulan dengan APAC Wrestling, kata Adam.

“Keperluan dia (APAC Wrestling) bukan sekadar tempat latihan, ia juga tempat perlawanan. Kita masih lagi dalam peringkat permohonan bajet dan sebagainya,” katanya.

Shaukat mula menempah nama di Hollywood setelah dipilih beraksi dalam rancangan televisyen gusti popular di Amerika Syarikat, Reality of Wrestling, terbitan juara gusti dunia enam kali dan legenda World Wrestling Entertainment (WWE), Booker T pada tahun lalu.

Shaukat membuka APAC Wrestling untuk melahirkan lebih ramai penggusti tempatan namun ternyata, ia bukan sesuatu yang mudah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.