
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang dilancarkan beliau hari ini mahu membina masyarakat yang lebih saksama dan sejahtera.
Terdahulu, Anwar dalam ucapannya berkata Malaysia perlukan kerangka ekonomi baharu, bagi melepaskan negara daripada “kitaran merbahaya” yang dicirikan dengan kos tinggi, gaji rendah, keuntungan rendah, dan kurang nilai daya saing.
“Kejayaan pembaharuan struktur ekonomi perlu dihitung setakat mana ia mampu mewujudkan lebih banyak pekerjaan dengan gaji yang bermakna kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada hadirin di pelancaran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, yang turut dihadiri Jemaah Menteri, agensi kerajaan, pakar ekonomi, dan tokoh industri.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata kadar upah dan gaji buruh berbanding jumlah keseluruhan pendapatan adalah sebanyak 32.4% bagi tahun lepas.
Bagi mencapai perkongsian ekonomi yang lebih seimbang, Anwar berkata kerajaan akan melaksanakan dasar yang menyokong peningkatan upah berbanding KDNK ke tahap 45%, termasuk mengkaji semula tahap gaji minimum dan memperhalusi model gaji progresif.
“Antara usaha termasuklah… memperkenalkan undang-undang yang menjamin persekitaran kerja yang selamat dan selesa,” katanya ketika berucap di Suruhanjaya Sekuriti di ibu negara.
Dalam pada itu, Anwar percaya negara perlu mengurangkan kebergantungan pada buruh asing kurang mahir yang menyumbang kepada nilai gaji keseluruhan yang rendah.
Justeru, kerajaan berhasrat melaksanakan levi pekerja asing berperingkat, iaitu sebahagian peningkatan hasil levi akan dikhususkan untuk program automasi serta latihan untuk pekerja tempatan.
Perdana menteri bertegas peningkatan pendapatan selaras produktiviti adalah penting dalam menangani kos sara hidup dan memastikan kualiti hidup yang bermakna.
Di samping itu, Anwar mahu kadar penyertaan buruh wanita dipertingkat sehingga mencecah 60% supaya lebih setanding dengan ekonomi serantau. Hadirin diberitahu bahawa kadar penyertaan buruh wanita sekitar 55.5%.
Bagi merapatkan jurang jantina dalam pasaran buruh, perlu ada usaha tuntas dari aspek perundangan dan kawal selia serta program sokongan. Ini termasuk menangani isu sistemik seperti kerja-kerja penjagaan tanpa gaji, diskriminasi jantina, serta dasar sokongan keluarga.
“Banyak lagi yang perlu dilakukan bagi memastikan tahap penyertaan yang lebih tinggi oleh wanita di alam pekerjaan,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan mahu akan memperluas jaringan perlindungan sosial, antaranya liputan perlindungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial ke atas populasi umur bekerja, secara berperingkat mengikut fasa.
Hadirin diberitahu lebih 40% tenaga buruh tidak mendapat perlindungan.
“Penambahbaikan akan dilakukan bagi memastikan tahap simpanan persaraan yang mencukupi untuk menampung kehidupan rakyat yang akan menempuh alam persaraan,” tambahnya.
Katanya lagi, sistem insurans pekerjaan serta program latihan semula akan terus dikukuhkan. “Pendekatan ini selaras dengan peralihan daripada melindungi pekerjaan kepada melindungi pekerja dalam konteks ekonomi yang cepat berubah.”