PRN: Guan Eng harap Adun DAP digugur sokong parti, kekal P Pinang

PRN: Guan Eng harap Adun DAP digugur sokong parti, kekal P Pinang

Pengerusi DAP itu berkata parti faham perasaan bekas Adun yang tidak dicalonkan semula, tetapi berharap mereka akan menyokong keputusan parti.

Lim Guan Eng berkata, kepimpinan DAP mahu mempunyai gabungan ‘kesinambungan dan pembaharuan’.
GEORGE TOWN:
Pengerusi DAP Lim Guan Eng menggesa mereka yang digugurkan daripada menjadi calon PRN 12 Ogos ini agar terus bersatu dengan parti itu bagi memastikan Pulau Pinang kekal ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Lim berkata, DAP faham perasaan bekas wakil rakyat yang tidak dicalonkan semula, tetapi berharap mereka akan menyokong keputusan parti.

“Mari kita bersama-sama memastikan kita dapat mengekalkan kerajaan negeri Pulau Pinang,” katanya selepas sebuah acara di stesen Bukit Bendera.

Lim turut membidas kritikan mengenai pencalonannya bagi DUN Air Putih, walaupun beliau Ahli Parlimen Bagan dengan berkata, kepimpinan DAP mahu mempunyai gabungan “kesinambungan dan pembaharuan”.

“Saya rasa apa yang perlu kita lakukan adalah melangkah ke hadapan dan memastikan kita boleh menjamin kemenangan untuk parti (pada PRN),” katanya yang mewakili DUN Air Putih sejak 2008.

Semalam, DAP mengumumkan 19 calonnya untuk PRN, dengan tujuh bekas Adun digugurkan, termasuk lima Exco antaranya bekas Timbalan Ketua Menteri P Ramasamy.

Lim turut menolak dakwaan bekas Adun Bagan Dalam M Satees bahawa mereka yang digugurkan sebagai calon PRN kerana lantang menyokong penyandang ketua menteri, Chow Kon Yeow.

Menurut Lim, semua calon yang diletakkan oleh DAP juga menyokong Chow sebagai ketua menteri.

“Saya tak rasa berbaloi untuk mengulas (dakwaan Satees),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.