
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata perkara itu diputuskan Jemaah Menteri semalam, dengan Selangor dijangka mendapat bandar raya keempat selepas Petaling Jaya, Shah Alam dan Subang Jaya.
Beliau berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan mengumumkan tarikh Klang diisytihar sebagai bandar raya secara rasmi.
Katanya, kerajaan membuat keputusan demikian memandangkan MPK mempunyai pendapatan tahunan melebihi RM100 juta dan memiliki sumber pendapatan mampan, manakala populasi Klang melebihi 500,000 orang.
Pada sesi bertemu rakyat di MPK hari ini, Nga turut mengumumkan kerajaan persekutuan dan negeri secara bersama memperuntukkan RM10 juta untuk pembangunan Majlis Bandaraya Klang.
Beliau berkata, kerajaan Selangor akan menyuntik peruntukan khas sebanyak RM5 juta secara berasingan kepada majlis bandaraya baharu itu.
“Kementerian (Pembangunan Kerajaan Tempatan) juga telah meminta peruntukan khas sebanyak RM24.6 juta daripada Kementerian Kerja Raya untuk menaik taraf jalan raya di sini. Ini akan dibincangkan selepas PRN.
“Oleh itu, penting untuk Selangor kekal sejajar dengan kerajaan persekutuan,” katanya.