Tak tahu operasi MBI, bekas MB Kedah bidas Sanusi

Tak tahu operasi MBI, bekas MB Kedah bidas Sanusi

Mahdzir Khalid berkata Sanusi Nor perlu berterus terang status dua warga China didakwa 'bekerja dengan MBI' yang dikatakan mencuri nadir bumi.

Mahdzir Khalid kecam Sanusi Nor kerana tidak mengetahui operasi Perbadanan Menteri Besar (MBI) walaupun menteri besar itu pengerusi entiti berkenaan.
PETALING JAYA:
Mahdzir Khalid membidas Sanusi Nor yang mendakwa tidak tahu seluruh perjalanan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dengan alasan tidak mempunyai kuasa eksekutif terhadapnya.

Semalam, Sanusi dilaporkan berkata beliau tidak mengetahui perjalanan MBI termasuk kedudukan dua warga China dibawa masuk ke negara ini oleh entiti itu untuk melakukan kerja meneroka unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik seperti dipersoal Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Dua lelaki itu juga didakwa mempunyai kaitan dengan kes kecurian REE.

Mahdzir yang juga bekas menteri besar, berkata Sanusi sepatutnya mengetahui pentadbiran MBI kerana menjadi pengerusinya dan seharusnya berterus terang dan tidak menyembunyikan “apa-apa di bawah karpet”.

Ketua Umno Kedah itu berkata walaupun pemimpin PAS itu berhak tidak menjawab persoalan berkaitan isu REE di Bukit Enggang kerana mendakwa tidak mempunyai “kuasa eksekutif”, namun sebagai pengerusi perlu maklum dengan perjalanan operasi projek entiti berkenaan.

“(Kenyataan) itu perlu dikeluarkan daripada MBI. Sanusi adalah pengerusi MBI.

“Dia lebih tahu daripada orang lain. Tak kan lah CEO (ketua pegawai eksekutif) dengan pegawai dia tak ‘brief’ (bentang) dia,” katanya selepas mesyuarat Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Kedah menurut Sinar Harian.

Mengulas lanjut perkara itu, Mahdzir berkata ketika menjadi pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari 2020 hingga 2022, beliau tetap mengambil tahu perjalanan organisasi itu walaupun diuruskan sepenuhnya pengurusan syarikat utiliti terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.