
Pemangku Ketua Polis Gombak, Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata polis menerima maklumat kejadian pada 12.44 tengah hari.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika lelaki tempatan berusia 48 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Wave itu dalam perjalanan dari Sri Gombak menghala ke Pinggiran Batu Caves.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa melanggar belakang sebuah van jenis Nissan Urvan yang berhenti di lorong kiri.
“Mangsa kemudiannya tercampak ke atas jalan di lorong kanan sebelum dilanggar sebuah lori,” katanya menurut Berita Harian.
Bagaimanapun katanya, pemandu van dan pemandu lori itu dikesan beredar dari lokasi kemalangan manakala mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Selayang untuk bedah siasat,” katanya.
Noor Ariffin berkata polis sedang berusaha mengesan kenderaan dan pemandu yang terbabit dalam kejadian itu bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 atau IPD Gombak di talian 03-61262222 bagi membantu siasatan.