Keyakinan industri ‘goyah’ selepas Good Vibes Festival dibatal

Keyakinan industri ‘goyah’ selepas Good Vibes Festival dibatal

CEO Kumpulan Livescape, Iqbal Ameer berkata artis, penaja, peminat, pelancong dan penjual makanan turut terjejas.

CEO Kumpulan Livescape, Iqbal Ameer berkata, pembatalan Good Vibes Festival Jumaat lalu akan menyebabkan Malaysia kurang menarik secara signifikan kepada artis antarabangsa. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Keputusan kerajaan membatalkan Good Vibes Festival selepas persembahan kontroversi penyanyi sebuah kumpulan British akan memberi kesan kepada seluruh industri, kata seorang penganjur acara utama dan festival muzik.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Livescape, Iqbal Ameer berkata, pembatalan acara tiga hari itu semata-mata satu persembahan pada malam Jumaat lalu akan menjadikan konsert di Malaysia kurang menarik secara signifikan kepada artis antarabangsa.

“Ini menjejaskan keyakinan industri. Kenapa ada orang hendak mengambil risiko? Penganjur acara kini perlu berfikir 10 kali sama ada mahu mengadakan festival muzik.

“Sama juga buat artis, penaja, peminat, pelancong, penjual makanan, dan kerajaan yang kini akan berfikir beberapa kali sebelum memberi kelulusan,” katanya kepada FMT.

Iqbal Ameer.

Dalam kejadian Jumaat lalu, vokalis The 1975, Matty Healy mengkritik pendirian Malaysia terhadap LGBT sebelum mencium rakan sekumpulannya, yang juga lelaki.

Insiden itu mendapat kecaman meluas dan memaksa kumpulan itu mengumumkan pembatalan persembahan di Jakarta Ahad lalu dan kemudian Taiwan.

Pengasas dan Pengarah Future Sound Asia (FSA) yang juga penganjur Good Vibes Festival, Ben Law berkata, acara yang diadakan sejak sedekad lalu itu kini berdepan “ancaman tidak pernah berlaku” disebabkan tindakan seorang individu.

Beliau menyifatkannya “tamparan kewangan dahsyat” buat FSA dan kesan insiden itu akan melangkaui syarikat mereka.

Iqbal menggesa industri hiburan negara menyokong hampir 100 acara langsung bakal dianjurkan Malaysia mulai sekarang hingga Disember ini bagi membuktikan mereka tidak akan terjejas hanya disebabkan tindakan seorang artis.

“Saya fikir industri perlu bersatu dan menunjukkan kita boleh terus melakukannya.”

Seorang lagi peserta industri, David Gurupatham berkata, konsensus umum dalam kalangan pemain industri ialah FSA tidak patut dihukum dengan dipaksa membatalkan acara tiga hari itu.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan patut membenarkan festival itu diteruskan dengan jaminan insiden sama tidak akan berulang.

David Gurupatham.

Gurupatham yang juga peguam berpendapat, The 1975 mungkin melanggar kontraknya kerana gagal mematuhi garis panduan persembahan, termasuk perlu mengelak daripada menyentuh isu sensitif.

“Kerugian berjuta-juta dalam jualan tiket, makanan dan tempahan hotel akibat tindakan tidak bertanggungjawab seorang artis.

“Jika mereka (The 1975) bertindak secara bertanggungjawab, penganjur tidak akan dihukum. Pembatalan ini menjejaskan industri seperti acara langsung, hospitaliti, pelancongan…dan kedudukan kita dalam peta dunia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.