
Beliau berkata, lima risiko jenayah utama iaitu penipuan, rasuah, penyeludupan, pengedaran dadah serta jenayah terancang merangkumi 70% daripada pendedahan FIU yang disalurkan kepada agensi penguatkuasaan serta FIU di peringkat asing.
“Pendedahan itu membawa kepada penahanan sebanyak 51 individu, tindakan membeku serta menyita aset yang bernilai melebihi RM570 juta serta memperoleh semula RM372 juta daripada kesalahan berkaitan dengan jenayah terancang dan cukai,” katanya ketika berucap pada Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) 2023.
Marzunisham berkata Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerima lebih 15,000 laporan kes scam atau penipuan membabitkan kerugian RM141 juta sejak dilancarkan pada Oktober 2022.
Polis pula memaklumkan hampir 72,000 kes penipuan yang dilaporkan itu melibatkan kerugian bernilai lebih RM5 bilion sejak dua tahun lepas, katanya.
Di samping itu, beliau berkata Penilaian Risiko Kebangsaan 2020 (NRA 2020) berdasarkan kepada analisis data bagi tempoh 2017 to 2019 turut mendapati bahawa penipuan, rasuah, penyeludupan, pengedaran dadah dan jenayah terancang adalah lima jenayah berisiko tinggi yang memberi ancaman pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganas (ML/TF) secara signifikan di Malaysia.
NRA 2020 juga mengesan peningkatan peranan pengupaya profesional dalam usaha melindungi atau menutup jenayah berkaitan.
“Kalangan peguam, akauntan dan setiausaha syarikat disifatkan sebagai profesion berisiko tinggi berikutan peranan mereka sebagai pemudahcara atau pengupaya yang dilakukan menerusi pengurusan kewangan pelanggan, membuka syarikat tidak aktif bagi menyembunyikan aset, mewujudkan struktur individu perundangan yang kompleks serta penyediaan perkhidmatan penamaan bagi mengaburi kawalan atau pemilikan,” katanya.