
Ketua Pemudanya, Dr Kelvin Yii, berkata parti itu terpaksa menyesuaikan diri untuk membentuk kerajaan sambil menegaskan ia tidak mengorbankan prinsip terasnya.
“Jadi untuk mengatakan kita berpaling daripada prinsip kita adalah terlalu awal.
“Rakyat mahu kerajaan yang berfungsi dan kompeten, ia akan menjadi fokus kita yang mengatasi sebarang agenda peribadi,” kata Yii kepada FMT.
Beliau mengulas laporan FMT yang memetik dua pemimpin DAP bersetuju dengan penilaian Ronnie Liu bahawa sesetengah pemimpin melupakan nilai teras parti dan berisiko menjadi “satu lagi MCA”.
Salah satu sumber, seorang Adun DAP, menuduh kepimpinan PH lebih bersimpati dengan tuntutan BN berbanding parti komponennya sendiri.
Beliau juga berkata, ramai yang bersetuju dengan kenyataan Tony Pua mengenai Umno, tetapi kecewa parti itu tidak menyokong bekas Ahli Parlimen Damansara berkenaan.
Pada majlis makan malam kutipan dana DAP bulan lalu, Pua berkata penyokong PH mesti membuktikan “parti berbilang kaum yang bersih dan tidak rasuah” boleh melakukan lebih baik daripada gabungan dan parti “rasuah” seperti BN, Umno dan Bersatu.
Yii berkata, jika kedua-dua pemimpin DAP yang enggan dikenali itu benar-benar berpegang kepada kenyataan mereka, individu terbabit tidak perlu takut untuk mendedahkan identiti.
“Bersembunyi di sebalik kerahsiaan membuka persoalan mengenai niat kritikan itu.
“Yang mana ia selalunya timbul menjelang pilihan raya disebabkan individu tertentu kemungkinan tidak berpuas hati dengan keputusan sukar dibuat pucuk pimpinan, terutama dalam pemilihan calon,” katanya.
Ketua Pemuda DAP Petaling Jaya, Kusaaliny Mahendran, berkata kerjasama parti itu dengan BN tidak mengubah kerja dilakukannya, walaupun beliau mengakui ia bukan sesuatu yang mudah.
“Kami menerima ini adalah kerjasama disebabkan oleh Parlimen tergantung, dan pada masa ini, Malaysia memerlukan kerajaan yang berkebolehan untuk mengemudi pembangunan politik dan ekonomi,” katanya.
Kusaaliny mengakui beliau juga percaya dengan apa dikatakan Pua, iaitu sebagai sebuah parti politik, DAP harus berhasrat membentuk kerajaan secara bebas suatu hari nanti.
“Bagaimanapun, seperti dinyatakan setiausaha agung kami, pandangan beliau (Pua) tidak mewakili pendirian parti,” katanya sambil mengulangi ucapan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook bulan lalu yang berkata kenyataan Pua dibuat atas kapasiti peribadi.
“Kami komited memastikan kerajaan perpaduan stabil dan akan membuahkan hasil dalam tempoh lima tahun akan datang, semoga dapat mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap kami.”