Sanusi iktiraf kerja keras Salahuddin tangani kenaikan harga barang

Sanusi iktiraf kerja keras Salahuddin tangani kenaikan harga barang

Menteri besar Kedah itu mahu kerja keras Salahuddin Ayub ketika menjadi menteri dihargai.

Sanusi Nor berkata Salahuddin Ayub merupakan kawan lama yang sangat budiman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sanusi Nor menyifatkan Salahuddin Ayub seorang budiman, dan beliau mengiktiraf kerja keras Allahyarham menangani isu kenaikan harga barang.

Menteri besar Kedah itu berkata, beliau mengenali Salahuddin sejak 1997 ketika bersama dalam PAS.

“Saya ucap takziah kepada isteri dan anak-anak, keluarga beliau dan ahli Amanah dengan (kehilangan) seorang yang sangat (budiman) bagi saya.

“Sebab (saya) kawan dia lama. Beliau pun pernah tidur di rumah saya beberapa kali. Beliau seorang yang budiman. Saya kenal beliau sejak 1997,” katanya, menurut Sinar Harian.

Sanusi, yang juga ketua pengarah pilihan raya PAS dan Perikatan Nasional, mengucapkan penghargaan kepada Allahyarham atas usahanya ketika menerajui kementerian.

“Saya ucap terima kasih kepada usaha beliau untuk menangani isu-isu kenaikan harga barang di bawah kementerian beliau.

“Apa-apa yang beliau kerja keras untuk itu kita, hargailah semua,” katanya.

Salahuddin pernah menjadi naib presiden PAS sehingga 2015 sebelum keluar menyertai Amanah.

Menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu meninggal dunia pada 9.23 malam tadi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.