PRN: Elak kempen takutkan pelabur, Tok Mat ingatkan semua parti

PRN: Elak kempen takutkan pelabur, Tok Mat ingatkan semua parti

Mohamad Hasan berkata negara memerlukan pelabur untuk tingkat ekonomi, sedia kerja untuk rakyat.

Mohamad Hasan mempertahankan DUN Rantau diwakilinya sejak 2004 pada PRN bulan depan.
PETALING JAYA:
Semua pihak perlu mengelakkan politik tidak sihat pada kempen PRN yang dibimbangi akan menakutkan pelabur ke Malaysia, kata Mohamad Hasan.

Lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat, menteri pertahanan itu yang juga timbalan pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata negara memerlukan pelabur untuk meningkatkan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Kalau dalam kempen pun kita dah buka habis semua pekung, dikhuatiri pihak-pihak di luar negara yang berhasrat untuk melabur di negara kita berasa bimbang untuk melabur.

“Dengan adanya pelaburan, sudah tentu ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan membantu meningkatkan ekonomi negara,” katanya menurut Bernama.

PRN 12 Ogos depan akan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Terengganu, Kedah dan Kelantan, selain PRK Kuala Terengganu yang diadakan susulan pembatalan keputusan PRU15 oleh Mahkamah Pilihan Raya Terengganu, bulan lalu.

Pada pilihan raya itu, Mohamad yang juga timbalan presiden Umno akan mempertahankan DUN Rantau, diwakilinya sejak 2004.

Mohamad berkata biarpun telah lama mewakili kawasan berkenaan, namun ia bukan tiket untuknya berasa selesa.

“Setiap kali pilihan raya pasti cabarannya berlainan. Saya tak boleh mengambil ringan dan tetap perlu bekerja kuat untuk memastikan kemenangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.