Keluarga 7 anak Orang Asli hilang dapat pampasan RM1.41 juta

Keluarga 7 anak Orang Asli hilang dapat pampasan RM1.41 juta

Tujuh kanak-kanak Orang Asli itu hilang dari sebuah sekolah asrama di Kelantan pada 2015, dan hanya dua daripadanya ditemui selamat.

Keluarga berkenaan memfailkan saman terhadap kerajaan dan lapan pegawai awam kerana cuai. (Facebook pic)
PETALING JAYA:
Keluarga tujuh murid Orang Asli yang hilang dari sebuah sekolah berasrama di Kelantan, lapan tahun lalu, bersetuju menerima pampasan RM1.41 juta daripada kerajaan hasil persetujuan di luar mahkamah.

Persetujuan itu mengakhiri usaha keluarga-keluarga terbabit dalam mendapat keadilan.

Tujuh murid SK Tohoi itu melarikan diri dari asrama di Gua Musang itu pada Ogos 2015, apabila takut dimarah guru kerana mandi di sungai berhampiran tanpa kebenaran.

Daripada tujuh kanak-kanak itu, hanya Noreen Yaakob, 11, dan Miksudiar Aluj, 12, terselamat selepas hilang selama 47 hari di dalam hutan berhampiran.

Lima yang lain, iaitu adik lelaki Noreen, Haikal; Ika Ayel, 9; Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; dan Sasa Sobrie, 8; menemui ajal di dalam hutan itu, malah sisa mayat Sasa tidak pernah ditemui.

Pada 2018, keluarga kanak-kanak terbabit memfailkan saman terhadap kerajaan dan lapan pegawai awam kerana cuai.

Menurut laporan The Star, persetujuan dicapai sebelum perbicaraan yang dijadualkan bermula minggu ini.

“Kami menghabiskan banyak masa dan wang untuk sampai ke peringkat ini, tetapi saya berterima kasih kepada pasukan peguam serta pakar yang akhirnya membantu keluarga terlibat menutup buku,” kata aktivis dan peguam Siti Kasim.

Siti sepatutnya menjadi saksi pertama dalam perbicaraan itu.

“Kejadian itu amat memberi trauma untuk murid yang terselamat dan keluarga terbabit, kerana sudah pasti sukar merasai kehilangan seorang anak selepas diserahkan kepada sekolah berasrama,” katanya.

Siti berkata wang diterima akan dikongsikan secara sama rata antara semua keluarga pelajar terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.