Satelit Starlink untuk pendidikan, NGO harap tak jadi ‘projek gajah putih’

Satelit Starlink untuk pendidikan, NGO harap tak jadi ‘projek gajah putih’

iGuru mencadangkan kerajaan melaksanakan kajian kesesuaian pemasangan peranti itu.

Starlink menyediakan rangkaian internet menerusi beberapa satelit SpaceX di orbit bumi rendah. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Sebuah NGO pendidikan berharap rancangan kerajaan memperoleh 40 peranti satelit Starlink untuk institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah tidak menjadi projek “gajah putih” seperti program sebelum ini.

Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan, berkata walaupun mengakui pembelian peranti itu dapat membantu pendidik dan murid dengan meningkatkan capaian internet di pedalaman dan luar bandar, pada masa sama tatakelola pelaksanaannya juga harus diutamakan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kajian untuk melihat kesesuaian pemasangan peralatan keluaran SpaceX tersebut dengan mengambil kira pandangan pakar berkaitan.

“Kita berharap ia tidak menjadi projek gajah putih dan cubaan mana-mana pihak mengaut keuntungan.

“Aspek ketelusan dan tatakelola yang baik perlu diutamakan,” katanya kepada FMT.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan rancangan perolehan 40 peranti satelit Starlink untuk kegunaan di universiti, kolej dan sekolah seluruh negara, selepas perbincangan dengan Pengasas Tesla dan SpaceX, Elon Musk pada 14 Julai.

Starlink adalah peralatan komunikasi satelit daripada SpaceX yang menyediakan rangkaian internet menerusi beberapa satelit SpaceX di orbit bumi rendah.

Anwar menjelaskan “pembelian segera” peranti dianggar bernilai RM10,000 ke RM15,000 seunit bagi mempercepat akses internet stabil kepada pelajar universiti dan sekolah.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Nazirah Abdullah, meminta kerajaan menambah jumlah peranti tersebut yang tidak mencukupi untuk menampung jumlah keseluruhan sekolah dan universiti seluruh negara.

“Jika kita lihat pada angka 40, ia sudah pasti tidak cukup. Rasionalnya, satu satelit starlink hanya boleh mengintegrasikan lebih kurang 200 pengguna.

“Harapan kami kerajaan boleh sedia lebih peruntukan khususnya di kawasan luar bandar bagi memastikan capaian internet pada tahap memuaskan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.