
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata langkah itu membolehkan pengetua membuat tawaran terus kepada pelajar berpotensi, yang memerlukan peluang menyambung pengajian tanpa perlu menunggu tawaran KPM seperti tahun sebelumnya.
“Pengetua sudah boleh ambil anak-anak murid untuk masuk Tingkatan 6 dengan kuasa yang ada. Sebelum ini tawaran adalah daripada KPM.
“Pengetua boleh cari siapa (pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia) yang tidak ada tempat, peluang dan ruang boleh sambung tanpa tunggu tawaran KPM,” katanya selepas merasmikan himpunan pewaris generasi Madani di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud.
Pada majlis itu Fadhlina turut menyampaikan sumbangan komputer riba tajaan Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd kepada lapan pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.
Selain itu, Fadhlina berkata pemberian autonomi itu juga memberi jaminan akses lebih luas bagi pelajar daripada golongan B40 untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6.
Menurutnya, sebahagian besar pelajar STPM terdiri golongan B40 yang memerlukan lebih perhatian dan inisiatif daripada kerajaan.
Sementara itu, mengenai penjenamaan semula dan menaik taraf Tingkatan 6 ke kolej universiti, beliau berkata ia memerlukan sedikit masa untuk dilihat secara keseluruhan dan diselesaikan.
Sebelum ini, KPM dilaporkan membuat penjenamaan semula bagi beberapa aspek dalam sistem pendidikan Tingkatan 6 termasuk Kolej Tingkatan 6 dikenali sebagai Kolej Pra-Universiti manakala jawatan pengetua ditukar kepada pengarah.