
“MyCreative Ventures telah menghubungi (pihak yang terlibat) untuk melihat jenis bantuan yang boleh mereka berikan, terutamanya bagi vendor makanan dan artis tempatan.
“Saya juga telah memaklumkan kepada mereka untuk mengumumkan bantuan yang boleh diberikan kepada mereka.
“Saya diberitahu artis antarabangsa kebanyakannya telah dibayar, tetapi artis tempatan belum menerima bayaran,” katanya selepas majlis di UiTM Shah Alam hari ini.
MyCreative Ventures ialah cabang pelaburan kerajaan bertujuan menyokong industri kreatif Malaysia melalui pembiayaan strategik dan inovatif.
Semalam, Fahmi mengarahkan festival muzik itu dibatalkan berikutan insiden membabitkan kumpulan muzik daripada United Kingdom, The 1975.
Pada hari pertama acara tiga hari di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu, penyanyi utama The 1975 Matty Healy mengkritik undang-undang berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) Malaysia sebelum bertindak mencium ahli kumpulannya, seorang lelaki.
Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) berkata, kumpulan muzik itu telah disenarai hitam daripada membuat persembahan di negara ini berikutan insiden tersebut.
Puspal juga berkata, ia telah memfailkan laporan polis terhadap kumpulan itu dan penganjur acara atas kecuaian dan kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan.
Sementara itu, Fahmi berkata, beliau telah memaklumkan Puspal untuk memperkukuh proses saringan artis luar negara bagi mengelak kejadian serupa berulang.
“Perkara ini turut diminta Menteri Dalam Negeri (Saifuddin Nasution Ismail),” katanya.