
Presidennya, Aziz Abd Rahman, berkata wakil rakyat berhak mendapat pencen kerana mereka berkhidmat kepada orang ramai sepanjang masa.
Katanya, amalan itu selaras kerajaan di seluruh dunia yang mempunyai jawatankuasa keistimewaan bagi menentukan ganjaran untuk wakil rakyat.
Bekas Adun Mentakab dan Bera itu berkata, ada pihak cemburu dengan wakil rakyat kerana menganggap tidak adil untuk mendapat pencen atas tempoh perkhidmatan mereka berbanding penjawat awam yang terpaksa bekerja lebih lama untuk menikmati manfaat itu.
Katanya, istilah “pencen” tidak sesuai dan menyebabkan sesetengah orang membuat perbandingan langsung antara wakil rakyat dan penjawat awam.
“Saya lebih suka ia dipanggil ‘ganjaran’ atas perkhidmatan mereka sebagai wakil rakyat,” kata bekas timbalan menteri besar Pahang itu kepada FMT sambil menggesa pihak berkuasa tampil dengan istilah berbeza bagi mengelakkan perbandingan dengan penjawat awam.
Beliau berkata, ahli politik muda seperti Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak patut mencampuradukkan penjawat awam dan wakil rakyat dalam hal membabitkan pencen kerana kedua-duanya mempunyai aspek kerja berbeza.
Bekas Adun Selising, Zulkifle Ali turut mempertahankan hak wakil rakyat menerima pencen kerana mereka bekerja sepanjang masa untuk berkhidmat kepada rakyat.
Pemimpin Umno itu berkata, majoriti wakil rakyat tidak cukup rehat, selain turut membelanjakan sebahagian besar gaji dan elaun mereka bagi membantu rakyat.
Khamis lalu, Syed Saddiq menyifatkan wakil rakyat yang menerima pencen selepas berkhidmat hanya dua atau tiga tahun sebagai tidak adil memandangkan orang lain perlu bekerja beberapa dekad untuk layak menerima manfaat itu.
Justeru, beliau menggesa kerajaan menghapuskan skim pencen wakil rakyat, menteri besar dan exco bagi memastikan individu bertanding dalam pilihan raya tidak didorong kuasa, jawatan dan jaminan pencen.
Bekas Adun Bandar Hilir, Tey Kok Kiew, berkata alasan Syed Saddiq salah dan tidak adil kerana ramai wakil rakyat adalah ahli politik “sepenuh masa” dan tiada pekerjaan atau sumber pendapatan lain.