Komuniti Myanmar dalam ketakutan selepas aktivis, keluarga hilang

Komuniti Myanmar dalam ketakutan selepas aktivis, keluarga hilang

Pelarian bimbang mereka tidak selamat daripada 'ejen junta' selepas Thuzar Maung dan suaminya didakwa diculik dari rumah mereka di Ampang Jaya.

Aktivis Thuzar Maung (kanan) bergambar dengan suaminya sebelum kehilangan mereka pada 4 Julai lalu. (Gambar Human Rights Watch)
PETALING JAYA:
Komuniti pelarian Myanmar masih terkejut dengan dakwaan penculikan aktivis Thuzar Maung dan keluarganya kerana bimbang mereka tidak selamat daripada “ejen junta” beroperasi di Malaysia, menurut seorang aktivis.

Lokasi Thuzar dan keluarganya berada tidak diketahui selepas mereka didakwa diculik dari rumah di Ampang Jaya pada 4 Julai lalu.

Peguam Pertubuhan Etnik Myanmar, James Bawi, berkata komuniti itu mengesyaki ejen yang bekerja untuk kerajaan junta negara berkenaan di sebalik penculikan terbabit.

“Kami mengingatkan diri bahawa kami tidak selamat daripada penganiayaan junta walaupun berada di Malaysia,” kata Bawi, rakan baik Thuzar.

Beliau percaya Thuzar menjadi sasaran atas kelantangannya mengenai hak asasi manusia dan situasi politik di Myanmar serta disebabkan 93,000 pengikutnya di Facebook.

Bawi berkata, rakan Thuzar mengesyaki beliau ditakut-takukan selepas komennya dalam penampilan di Facebook Live baru-baru ini. Tetapi, tiada tindakan diambil kerana mereka mengandaikan beliau akan selamat di Malaysia.

Awal minggu ini, Human Rights Watch berkata Thuza, suaminya Saw Than Tin Win, 43, dan anak mereka, Aung Myint Maung, 21, Thukha Maung, 17, serta Poeh Khing Maung, 16, diculik dari rumah mereka di Ampang Jaya pada 4 Julai lalu.

Sekumpulan lelaki tidak dikenali yang mendakwa pegawai polis dilaporkan memasuki rumah keluarga itu dan menculik mereka. Polis kemudian mengesahkan nombor pendaftaran kereta digunakan ketika kejadian palsu.

Pada 19 Julai lalu, Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, memberitahu FMT kes itu diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.