Daging Rahmah RM27 sekilogram

Daging Rahmah RM27 sekilogram

Pelaksanaan jualan daging Rahmah yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran itu setakat ini dijalankan di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, menurut KPDN.

Dengan inisiatif jualan Daging Rahmah, rakyat dapat menikmati daging segar pada harga lebih murah berbanding di pasaran, iaitu lazimnya RM38 hingga RM41, kata Fuziah Salleh.
BUKIT MERTAJAM:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenal jualan daging Rahmah dengan harga RM27 sekilogram daging lembu tempatan menerusi Jualan Rahmah serta Jualan Rahmah Bergerak.

Timbalan menterinya, Fuziah Salleh berkata, buat permulaan, pelaksanaan jualan daging Rahmah yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran itu dijalankan di tiga negeri utara, iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Dengan inisiatif ini, katanya, rakyat dapat menikmati daging segar pada harga lebih murah berbanding di pasaran, iaitu lazimnya RM38 hingga RM41.

“Tawaran harga RM27 itu adalah kolaborasi antara pihak KPDN dengan sebuah syarikat ternakan iaitu Kaisar Farm,” katanya.

“Kaisar Farm ini menternak lembu tempatan di ladang mereka di Chuping, Perlis dan mereka menawarkan diskaun 15% manakala pihak kerajaan menerusi KPDN pula memberikan subsidi tambahan 15% lagi, jadi kita boleh jual dengan harga RM27 bagi setiap kilogram daging segar tempatan dan bukan sejuk beku.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Jualan Rahmah Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya, yang turut dihadiri Pengarah KPDN Pulau Pinang S Jegan.

Fuziah berkata, pihaknya merancang untuk memperluas jualan daging Rahmah di seluruh Semenanjung.

Menurutnya, Jualan Rahmah telah dilaksanakan di 106 lokasi dari Januari hingga Julai ini di Pulau Pinang, membabitkan rekod jualan sebanyak RM4.038 juta.

Sepanjang tempoh itu, katanya, jumlah keseluruhan pengunjung ialah 131,900 orang, membabitkan 13 kawasan Parlimen dan 40 DUN.

“Bagi Jualan Rahmah Bergerak pula, kelebihan pelaksanaan ini lebih kepada mobilisasi dengan konsep kedai cari rakyat dan mampu dilaksanakan di tempat berbeza pada hari yang sama.

“Program itu dilaksanakan di 233 lokasi di seluruh negara dan 57 lokasi di Pulau Pinang, ” katanya

Kedua-dua Jualan Rahmah menawarkan barang keperluan seperti telur, minyak masak, tepung, gula, bawang dan beras dengan harga ditawarkan adalah 20 hingga 30% lebih murah berbanding pasaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.