Bungkusan dibuka meletup, wanita Myanmar cedera

Bungkusan dibuka meletup, wanita Myanmar cedera

Mangsa membuka bungkusan dijumpai di belakang restoran disewanya dalam kejadian di Jalan Pantai Cenang Langkawi.

Ketua Polis Langkawi Shariman Ashari, berkata polis giat mengesan suspek dan sedang mengenal pasti motif kejadian itu. (Gambar Facebook)
ALOR SETAR:
Seorang wanita warga Myanmar cedera selepas membuka satu bungkusan yang dijumpai di bahagian belakang restoran yang disewanya di Jalan Pantai Cenang, Langkawi.

Ketua Polis Langkawi Shariman Ashari, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira 10.27 pagi tadi.

“Mangsa yang berusia 26 tahun itu mengusahakan kedai makan miliknya dengan menyewa bahagian belakang restoran berkenaan. Letupan daripada bungkusan itu telah menyebabkan mangsa cedera pada bahagian muka dan badan serta mangsa telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan keadaannya stabil.

“Unit Pemusnah Bom dan Unit Anjing Pengesan telah digerakkan ke lokasi kejadian. Buat masa ini kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Shariman berkata, pihak polis giat mengesan suspek dan sedang mengenal pasti motif kejadian berkenaan.

Terdahulu, kejadian itu turut tular menerusi media sosial memaparkan sebuah kotak didakwa berisi bom, meletup menyebabkan pemilik kedai berkenaan mengalami kecederaan teruk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.