Anwar mahu salur peruntukan kenderaan, kediaman rasmi kepada yang lebih memerlukan

Anwar mahu salur peruntukan kenderaan, kediaman rasmi kepada yang lebih memerlukan

PM berkata, beliau telah mengarahkan KSN agar perbelanjaan tambahan tidak diperuntukkan untuk kenderaan dan kediaman rasminya.

Anwar Ibrahim berpesan agar mana-mana pihak tidak terlibat dalam salah guna kuasa mahupun rasuah agar Malaysia dapat diangkat menjadi hebat di mata dunia.

PETALING JAYA:Anwar Ibrahim berkata, perbelanjaan kenderaan dan baik pulih kediaman rasmi perdana menteri sebaliknya akan disalurkan kepada golongan sasar yang lebih memerlukan.

Katanya, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali agar perbelanjaan tambahan tidak diperuntukkan untuk kenderaan dan kediaman rasminya.

“Apabila saya menjadi PM, saya tolak untuk menerima kereta baru yang telah ditempah,” katanya ketika berucap pada sebuah majlis di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam, lapor Sinar Harian.

“Saya tidak ada perbelanjaan tambahan untuk kediaman rasmi, sebaliknya mahu wang itu diberikan untuk membaik pulih rumah Orang Asli di Kampar (Perak), Pahang atau di Selangor ini.”

Anwar menegaskan beliau bertekad untuk menjadikan negara ini hebat di mata dunia.

“Apa cita-cita saya? Saya nak jadikan kuasa ini (perdana menteri) dengan rakan (menteri) untuk membantu rakyat, pacu pertumbuhan ekonomi dan jadikan Malaysia negara hebat di dunia.

“Kita mahu angkat negara ini sebagai paling hebat di rantau Asia Tenggara ini,” katanya.

Bagi merealisasikan hasrat itu, beliau meminta agar tiada pihak terlibat dalam salah guna kuasa mahupun rasuah.

“Bagaimana kita boleh (mencapai hasrat) ini? Pastinya jangan ada orang sakau dan kalau terbukti kita tangkap dan hantar masuk (penjara) Sungai Buloh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.