
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, berkata urusan penempatan kader itu, akan dilaksanakan dalam masa terdekat selepas pihaknya mengenal pasti kakitangan yang sesuai untuk memainkan peranan tersebut.
“Setakat ini kita (Jakim) tidak ada lagi pegawai agama di SKMM. Jadi saya minta Jakim hantar seorang kader, sebagai pakar rujuk.
“Bila berlaku hantaran berkaitan ajaran sesat yang sudah tentu akan tular, saya harap kader dapat ambil tindakan segera,” katanya penempatan kader di SKMM itu berupaya mencegah hantaran berkaitan ajaran sesat daripada terus tular.
Beliau berkata, langkah berkenaan diambil susulan beberapa video tular di media sosial baru-baru ini, melibatkan beberapa individu mengaku pengikut ajaran sesat Suhaini Muhammad atau SiHulk.
Na’im berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada Mufti Besar India dan juga Pengasas Jamia Markaz, Kerala, India Al-Allamah Syeikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari dan Penasihat Presiden Mesir Sheikh Dr Usamah Sayyid Al-Azhari, di pejabatnya.
Na’im berkata, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020, telah memutuskan fahaman SiHulk sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Beliau berkata, Jakim telah diarahkan bekerjasama dengan polis dan SKMM untuk membanteras ajaran sesat itu dan Jakim juga akan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan SiHulk kepada jabatan agama Islam negeri, antaranya Jabatan Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Selangor untuk tindakan penguatkuasaan.