Rampasan jam tangan, mahkamah dengar semakan kehakiman Swatch 23 Ogos

Rampasan jam tangan, mahkamah dengar semakan kehakiman Swatch 23 Ogos

Pembuat jam tangan Switzerland berkata ia perlu meminda kertas kausanya dalam permohonan semakan kehakiman terhadap tindakan Kementerian Dalam Negeri.

Pegawai Kementerian Dalam Negeri merampas 172 jam tangan dari beberapa cawangan Swatch antara 13 dan 15 Mei, mendakwa ia mempunyai unsur mempromosikan komuniti LGBTQ. (Gambar Swatch)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan Swatch Malaysia memulakan semakan kehakiman untuk mencabar tindakan kerajaan yang merampas 172 jam tangan termasuk siri Pride Collection pada 23 Ogos ini.

Hakim Amarjeet Singh menetapkan tarikh itu hari ini selepas peguam Nizam Bashir memaklumkan mahkamah bahawa pembuat jam tangan Switzerland
perlu meminda kertas kausanya.

Peguam Kanan Persekutuan Irmawatie Daud, yang mewakili kerajaan, berkata mereka tidak mempunyai bantahan terhadap pindaan itu.

Pegawai Kementerian Dalam Negeri merampas jam tangan dari beberapa kedai Swatch antara 13 dan 15 Mei.

Pembuat jam itu dimaklumkan melalui notis penyitaan kementerian bahawa jam tangan itu mempunyai unsur mempromosikan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Swatch mendakwa rampasan itu tidak sah kerana aksesori berkenaan bukan ditakrifkan bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menurutnya, bawah akta itu istilah penerbitan terhad untuk dokumen, surat khabar, buku atau sebarang bahan dalam bentuk bercetak.

“Jam tangan tersebut belum ditakrifkan sebagai penerbitan yang dilarang, oleh itu pegawai tidak mempunyai kuasa memasuki cawangan pemohon (Swatch Malaysia) untuk merampasnya,” katanya dalam permohonan kebenarannya.

Swatch Malaysia berkata, beberapa model antara 172 jam tangan yang dirampas sudah dijual di Malaysia selama lebih setahun dan tiada notis aduan atau aduan mengenainya.

Syarikat itu berkata peguamnya juga memohon KDN memulangkan jam dirampas, namun kementerian tidak berbuat demikian.

“Pemohon juga menyifatkan tindakan itu bermotifkan politik memadangkan PRN bakal diadakan tidak lama lagi. Menteri itu berusaha untuk menunjukkan imej ‘Islamnya’ bagi tujuan politik,” dakwanya.

Dilaporkan, pegawai kementerian merampas jam tangan Pride Collection, yang menampilkan warna pelangi, selepas pengguna media sosial mengaitkan koleksi itu dengan sokongan kumpulan rock British Coldplay untuk komuniti LGBTQ.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.