Mana bukti ramai ahli MIC masuk PN, kata Thinalan

Mana bukti ramai ahli MIC masuk PN, kata Thinalan

Ketua Penerangan MIC Thinalan Rajagopalu berkata ahli MIC majoritinya masih setia dengan kepimpinan parti.

Ketua Penerangan MIC Thinalan Rajagopalu berkata dakwaan ramai ahli MIC keluar parti untuk bersama Perikatan Nasional adalah publisiti murah menjelang PRN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin MIC menolak dakwaan Perikatan Nasional (PN) Selangor bahawa ramai ahli parti kaum India itu akan keluar parti untuk menyokong gabungan pembangkang.

Ketua Penerangan MIC Thinalan Rajagopalu berkata, bilangan ahli MIC yang keluar parti dan kemudian menyertai gabungan itu hanya sekadar angka tunggal.

“Mana bukti ramai ahli MIC yang kononnya masuk PN? Ada bukti bergambar dan rekod yang boleh dikongsi?

“Ahli MIC majoritinya masih setia kepada kepimpinan parti kerana yakin terhadap perjuangan MIC membela nasib masyarakat India. Tak usahlah mencari publisiti murah menjelang PRN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam, PN Selangor mendakwa semakin ramai ahli MIC terutama di Selangor tidak bersetuju dengan kepimpinan parti, memilih untuk keluar parti dan seterusnya bersama PN bagi membela nasib kaum India.

Katanya, Pakatan Harapan pula dilihat sudah tidak lagi relevan untuk membawa suara kaum India kerana lebih banyak memberikan janji berbanding tindakan.

Awal bulan ini, sumber memberitahu FMT, PN dalam proses membentuk sebuah jawatankuasa dianggotai orang India sepenuhnya diketuai bekas pemimpin MIC, sebagai langkah menubuhkan parti baharu bangsa India dalam gabungan itu.

Sumber itu berkata, beberapa pemimpin berprofil tinggi MIC dijangka meninggalkan parti itu bagi mengetuai jawatankuasa tersebut.

Bulan lalu, bekas naib presiden MIC, C Sivaraj dan ketua Pemuda MIC Selangor P Punithan mengumumkan keluar parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.