Kerajaan Perak selesai lantik 500 ketua kampung, akui lewat kerana berhati-hati

Kerajaan Perak selesai lantik 500 ketua kampung, akui lewat kerana berhati-hati

Ketika pentadbiran BN-PN, berlaku perebutan antara komponen parti kerana masing-masing ingin meluaskan pengaruh.

Saarani Mohamad berkata sebelum ini timbul masalah seperti ada ketua kampung tidak bermastautin di perkampungan diuruskannya.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan Perak menyelesaikan pelantikan lebih 500 ketua kampung yang sedikit lewat susulan langkahnya lebih berhati-hati bagi mengelakkan kesilapan lalu.

Menteri Besar Saarani Mohamad berkata sebelum ini timbul masalah seperti ada ketua kampung tidak bermastautin di perkampungan diuruskannya, berlaku disebabkan pengagihan jawatan antara Barisan Nasional (BN), PAS dan Bersatu.

Menurutnya, walaupun Umno dominan ketika itu, PAS serta Bersatu turut menuntut ahlinya dilantik ke jawatan berkenaan dan perbezaan struktur cawangan parti dari segi lokaliti menyukarkan proses pemilihan.

“Kerana hendak bagi muka kepada PAS dan Bersatu maka berlaku masalah…ada isu tiada wakil Bersatu boleh menjadi ketua kampung, jadi terpaksa ambil orang A jadi ketua kampung Z.

“Ini menimbulkan masalah kerana ketua kampung sepatutnya bermastautin dalam kampung dan memahami budayanya,” katanya kepada FMT.

“Akhirnya kita lantik penghulu jadi ketua JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) dan wakil dalamnya ada Umno, Bersatu dan PAS…dikatakan satu kampung ada tiga ‘ketua’.”

Menurutnya, mengambil pengajaran daripada kesilapan itu pentadbiran kerajaan perpaduan BN dan Pakatan Harapan (PH) lebih berhati-hati untuk mengelakkan penduduk kampung sukar berurusan dengan pemimpin dilantik.

“Di Perak ada 828 kampung dan yang tiada masalah langsung sekitar 50% atau kira-kira 500 kampung,” katanya.

Pada Mei 2020, FMT melaporkan perebutan jawatan ketua kampung antara Umno dan PAS sebaik sahaja gabungannya membentuk kerajaan Perak bersama Bersatu yang keluar daripada PH beberapa bulan sebelum itu.

Masalah itu wujud di kawasan majoriti Melayu yang kebanyakkannya dikuasai Umno, namun pada masa sama PAS mahu mengembangkan pengaruhnya dengan memegang jawatan pemimpin akar umbi.

Kawasan terbabit termasuk di Rungkup, Gunung Semanggol, Kuala Kurau, Tualang Sekah, Kampung Gajah dan Chenderiang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.