Selesaikan tuntutan harta intelek kami, kata persatuan penerbit

Selesaikan tuntutan harta intelek kami, kata persatuan penerbit

Dasar hak cipta karya terbitan penerbit di negara ini masih menjadi 100 peratus milik stesen televisyen.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosli berkata NGO yang diterajuinya sudah 13 tahun memperjuangkan isu harta intelek.
AMPANG:
Putrajaya diharap dapat menyelesaikan isu pemilikan harta intelek (IP) yang selama ini diambil 100 peratus oleh stesen televisyen menyebabkan penerbit rugi.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosli berkata kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim perlu ada keberanian memuktamadkan Dasar Perfileman Negara (DPN) yang gagal dilaksanakan menteri-menteri terdahulu.

Menurut Jurey, DPN yang dirangka ketika Rais Yatim menjadi menteri kebudayaan, kesenian dan warisan secara jelas menyatakan “amalan itu” bercanggah dengan industri perfileman di negara maju yang mana hak siaran dipersetujui mengikut jumlah atau tempoh atau kedua-duanya.

DPN yang dirangka sekitar 2004-2008 turut menggesa penerbit diberi ganjaran walaupun dengan harga lebih murah, jika IP terbitannya diulang tayang stesen televisyen.

PTVM diketuai Jurey Rosli Latif sudahpun mengadakan perjumpaan dengan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil untuk menyatakan tuntutan mereka.

“Kalau dasar dah kata tak boleh ambil IP sepenuhnya, tapi kita (kerajaan) tak boleh kuat kuasakan, jadi dasar itu (digubal) untuk apa?,” soalnya kepada FMT.

Jurey memberitahu isu IP sudah 13 tahun diperjuang PTVM dan setiap kali membangkitkan isu berkenaan, penerbit akan dipersoal kenapa bersetuju dengan syarat hak milik 100 peratus oleh stesen televisyen.

“Mereka MyIPO (Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) kata (soal) kenapa penerbit tandatangan dan setuju serahkan (serah milik IP)? Kita (penerbit) jawab kalau tak setuju, kami tak dapat kerja,” katanya yang memperjuangkan isu itu sejak menjadi presiden PTVM pada 2008.

Menurutnya, pihaknya terkilan melihat stesen televisyen setiap tahun mengumumkan keuntungan besar diperoleh, sedangkan nasib penerbit tidak pernah berubah.

“Kita (penerbit) buat drama 26 atau 20 episod dengan keluarkan duit sendiri, tetapi stesen bayar sekali sahaja, kemudian ia ditayangkan di luar negara menerusi pelbagai platform penstriman seperti Netflix dan lain-lain.

“Kita hanya mampu tengok saja, sedangkan IP kita punya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.