Polis buru Ah Long upah RM1,500 bakar rumah peminjam

Polis buru Ah Long upah RM1,500 bakar rumah peminjam

Polis terima laporan daripada mangsa yang mendakwa rumahnya dibakar pada 7 Julai lalu.

Sindiket Ah Long itu dikesan menawarkan kerja membakar rumah dan membaling cat menerusi media sosial.
KUCHING:
Polis kini giat mengesan rangkaian sindiket Ah Long yang mengupah individu untuk membakar dan membaling cat ke rumah peminjam mereka melalui tawaran kerja di media sosial.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata ini susulan laporan diterima pihaknya pada 7 Julai lalu, di mana seorang mangsa memaklumkan rumah miliknya di Kota Samarahan telah dibakar selain menerima kiriman video insiden tersebut melalui aplikasi WhatsApp.

“Selain itu, terdapat tiga lagi kejadian simbah cat di kedai perabot dan rumah mangsa. Susulan itu, sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata susulan itu, tujuh suspek warga tempatan berjaya ditahan dan direman selama tujuh hari bermula 17 Julai lalu.

“Hasil soal siasat mendapati mereka telah menerima tawaran melakukan kerja itu di media sosial dengan pembayaran upah sebanyak RM1,500,” katanya.

Azman berkata orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta untuk menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Insp Mustapha Ramli di talian 019-8145090.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.