
Baginda bertitah sifat hasad dengki dan berfikiran negatif tidak harus diamalkan setiap rakyat kerana ia tidak mendatangkan faedah kepada bangsa dan negara.
“Mengambil ibrah daripada peristiwa hijrah ini, beta mengajak rakyat bersatu hati dalam membentuk sebuah masyarakat yang lembut dalam berbicara serta halus dalam berpesan.
“Harmoni dalam persaudaraan, jujur dalam pekerjaan, amanah dalam menggalas tugas dan gagah perkasa dalam mencipta kejayaan,” titah baginda sempena sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan 1445H di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi serta Fadillah Yusof.
Sultan Abdullah turut menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan kepada bekas ketua pengarah Institut Kefahaman Islam Abdul Monir Yaacob dan Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakr Amad yang diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.
Pemilihan kedua-dua tokoh itu berdasarkan sumbangan besar mereka dalam perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan serta diterima masyarakat dari dalam dan luar negara.