
Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh, berkata banyak persoalan mengenai perjanjian itu perlu dijawab, terutama mengapa syarikat asal yang menganugerahkan projek itu digugurkan.
Beliau mengulas perkara itu susulan Pengasas Berjaya Group Vincent Tan berkata semalam, syarikatnya menyaman kerajaan dan Spanco Sdn Bhd berhubung konsesi untuk membekalkan kenderaan kerajaan.
Tan mendakwa usaha sama Berjaya-Naza pada asalnya mencapai perjanjian itu tetapi digantikan oleh Spanco pada 2020 dengan sewenang-wenangnya, melibatkan kos tambahan sebanyak RM700 juta.
Dalam kenyataan, Wong yang juga bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata dakwaan Tan adalah serius dan menunjukkan ketidakpatuhan oleh kerajaan ketika itu.
“SPRM perlu melaksanakan siasatan terhadap perkara ini dengan segera,” katanya.
Menurut Wong, antara aspek penting yang perlu disiasat oleh SPRM ialah alasan mengapa surat hasrat (LOI) yang dikeluarkan lebih awal kemudian dibatalkan kerajaan.
“Apakah keputusan jawatankuasa tender ketika itu? Kenapa hasil tender oleh kerajaan pada 2019 tidak dipatuhi?
“Apakah justifikasi bagi kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin memberikan kontrak kepada Spanco yang dikatakan RM700 juta lebih tinggi?” katanya.
Pada sidang media semalam, Tan mendakwa konsortiumnya menerima surat hasrat daripada kerajaan, tetapi tiga bulan selepas Muhyiddin menjadi perdana menteri, beliau dimaklumkan perjanjian itu ditamatkan.
Beliau juga mendakwa tender itu dikembalikan kepada Spanco, walaupun tawaran Berjaya-Naza adalah RM700 juta lebih rendah daripada tawaran Spanco.
Pada 2018, kerajaan meminta syarikat yang berminat untuk mengemukakan permohonan cadangan (RFP) mengenai konsesi berkenaan untuk membekal, menyelenggara dan mengurus kenderaan rasminya bagi 15 tahun akan datang.
Berjaya dan Naza membentuk konsortium untuk membida kontrak yang dilaporkan melibatkan kira-kira 12,500 kenderaan bernilai dianggarkan RM300 juta setiap tahun, mulai tahun kelima kontrak dan seterusnya.
Selain Berjaya-Naza, beberapa syarikat lain membida kontrak itu iaitu Sime Darby Bhd, DRB-HICOM Bhd, Samling Group, Comos, Go Auto, serta Spanco, yang memegang konsesi sejak 1994.