PM minta DBKL tambah baik, warta Pelan Struktur KL

PM minta DBKL tambah baik, warta Pelan Struktur KL

Anwar Ibrahim berkata, kerajaan amat komited memastikan penyediaan pelan yang komprehensif dan bersifat inklusif untuk rakyat.

PSKL 2040 adalah antara komponen utama Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 untuk memandu bandar itu bagi tempoh 20 tahun akan datang.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya segera melaksanakan penambahbaikan Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) dan mewartakan dokumen itu sebelum penghujung tahun ini.

Anwar, yang mempengerusikan taklimat bagi mendengar dan meneliti laporan sesi libat urus pindaan Draf PSKL 2040 bersama Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL semalam berkata, secara dasarnya, beliau berpuas hati dengan laporan sesi libat urus yang dibentangkan.

Katanya, DBKL perlu memberikan tumpuan pada mengekalkan kawasan rizab hutan dan kawasan lapang bagi memastikan matlamat menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya hijau, sihat dan rancak, tercapai.

Selain itu, Anwar berkata, beliau bersetuju perumahan mampu milik diperluas bagi menampung permintaan oleh warga Kuala Lumpur.

“Cadangan ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan perumahan mampu milik melalui konsep Kejiranan Madani di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kerajaan amat komited bagi memastikan penyediaan PSKL 2040 ini komprehensif dan bersifat inklusif untuk rakyat selaras dengan visi Kuala Lumpur, Bandar Untuk Semua.”

Anwar berkata berdasarkan pelanjutan sesi libat urus yang diadakan pada 18 hingga 26 Mei lepas, DBKL menerima sebanyak 639 pandangan daripada 425 peserta yang hadir.

PSKL 2040 adalah antara komponen utama Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 yang mengandungi visi, matlamat, hala tuju strategi dan tindakan untuk memandu Kuala Lumpur bagi 20 tahun akan datang.

Antara kandungan draf PSKL 2040 adalah mengintegrasikan penggunaan tanah dengan perancangan infrastruktur, pengangkutan, penyediaan perumahan mampu milik, pekerjaan, kemudahan awam serta peningkatan kualiti alam sekitar dan ruang awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.