PRN: Mufti ingatkan ahli politik jangan ekstrem, taksub ketika kempen

PRN: Mufti ingatkan ahli politik jangan ekstrem, taksub ketika kempen

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor meminta ahli politik berhemah dan tidak mengeluarkan kata-kata kesat ketika berkempen.

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor berkata semua pihak harus berpolitik secara matang sebagai masyarakat bertamadun yang mendokong sistem demokrasi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli politik khususnya beragama Islam diingatkan tidak bersikap ekstrem dan taksub ketika berkempen pada PRN enam negeri, kata Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau menasihatkan ahli politik menggunakan pendekatan berhemah dan tidak mengeluarkan kata-kata kesat ketika berkempen, untuk menarik sokongan kepada parti masing-masing.

“Berkempenlah secara bersopan dengan memelihara adab dan akhlak yang baik, jangan mencerca, maki hamun, dan memfitnah mana-mana individu hanya kerana perbezaan pegangan politik.

“Khusus bagi ahli politik beragama Islam, saya suka memperingatkan supaya tidak bersikap ekstrem dan terlalu taksub,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Wan Salim turut mengingatkan agar tidak mendoakan kebinasaan ke atas sesama saudara seagama atau antara sesama saudara senegara walaupun berbeza agama.

“Tidak wajar bagi seorang Muslim mendoakan keburukan ke atas saudaranya semata-mata kerana perbezaan fahaman politik.

“Perbezaan ini adalah tabi’i iaitu sama dengan perbezaan bentuk badan, warna kulit, dan rupa paras yang mesti diterima seadanya sebagai ketetapan daripada Sang Pencipta,” katanya.

Jelasnya, perbezaan fahaman politik perkara biasa dan tidak sepatutnya menjadi senjata untuk memecahbelahkan umat Islam.

Justeru, katanya semua pihak harus berpolitik secara matang sebagai masyarakat bertamadun yang mendokong sistem demokrasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.