
Menurut The Borneo Post, Lukanisman berkata, doktor itu antara 800 yang ditawarkan jawatan kontrak oleh Kementerian Kesihatan.
“Saya meminta lebih 200 doktor ini yang ditawarkan jawatan kontrak untuk menerima tawaran atau melapor diri untuk bertugas di lokasi yang ditetapkan di Sarawak,” katanya.
Katanya, umum mengetahui bahawa Sarawak tidak mempunyai jumlah pegawai perubatan dan kemudahan kesihatan yang mencukupi.
Pada bulan lalu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata terdapat aduan daripada doktor junior mengenai kesukaran untuk mengakses portal eHouseman (eHO) dan sistemnya yang sering tergendala hingga mempengaruhi proses pemohonan penempatan.
Presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata pemilihan penempatan pula dijalankan dengan terma ‘siapa cepat, dia dapat’ dan dibahagikan kepada beberapa fasa.
“Bagaimanapun, namun pilihan untuk berkhidmat di negeri yang dipilih dan kemudahan fasiliti tidaklah tersedia dalam setiap fasa sehingga berlaku ketidakadilan kepada mereka,” katanya yang turut meminta kementerian menangani isu tersebut.