
Beliau berkata, hasrat itu dinyatakan syarikat berkenaan menerusi surat yang disampaikan kepada beliau malam tadi, sekali gus dijangka membuka ribuan peluang pekerjaan di negara ini.
“Ini pertama kali saya nyatakan Geely yang bersama-sama mengeluarkan kereta dengan Proton telah menulis surat sebanyak 10 halaman kepada saya,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Selangor di sini hari ini.
Syarikat itu memaklumkan mahu meneruskan untuk menjadikan Tanjung Malim sebagai kota automobil kereta yang terbesar di rantau ini dan akan memulakan (pelaburan) sebanyak USD10 bilion atau RM40 bilion.”
Sementara itu, Anwar yang juga menteri kewangan berkata, kerajaan Arab Saudi dan syarikat minyak dan gas Aramco dari negara itu akan menumpukan pelaburan dan perkembangan operasinya di Malaysia.
“Ketua pegawai eksekutif Aramco Amin Nasser memaklumkan (kepada saya) bahawa Aramco senang dengan dasar serta pimpinan kerajaan dan membuat keputusan untuk menjadikan Malaysia hab perkembangan minyak dan gas bagi Arab Saudi di Asia Tenggara.
“Kebetulan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menunaikan haji (baru-baru ini), dan baginda duduk di sebelah Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Al Saud dan memberitahu pelaburan Arab Saudi untuk Asia tertumpu pusatnya di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia ketika ini mencatatkan pencapaian ekonomi yang baik, melibatkan pertumbuhan suku pertama 5.6% lebih tinggi berbanding China, Singapura dan Indonesia.
Menurut Anwar, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, negara berjaya menarik pelaburan sebanyak RM71 bilion yang turut disumbangkan oleh keadaan politik yang stabil.
“Jumlah ini tidak termasuk daripada Elon Musk, Aramco dan Geely,” katanya.