
Katanya, SEGiM yang berfungsi mengawal selia ekosistem industri gig negara itu akan dilaksanakan sejurus selepas diumumkan ketika pembentangan belanjawan Oktober depan.
Zahid berkata, selama beberapa tahun kegiatan ekonomi gig berjalan, nasib penggiat industri itu tidak diambil peduli.
“Kita tahu kadar bayaran kepada penggiat gig terlalu rendah dan kita juga tak mahu menekan penyedia perkhidmatan, tetapi kita minta soal kebajikan dan perlindungan mereka mesti diselaraskan.
“Saya yakin perdana menteri akan meluluskan segera apabila Kementerian Sumber Manusia (KSM) membawa memorandum penubuhan SEGiM, dan akan diumumkan secara rasmi ketika pembentangan Belanjawan 2024 Oktober ini,” katanya selepas merasmikan Forum Nasional: Kerangka Kerjaya Industri Gig di WTC Kuala Lumpur.
Jelasnya, kerajaan juga mengambil peduli kelompangan perundangan melibatkan industri itu dengan menggerakkan usaha dengan mewujudkan Sekretariat Komuniti Gig.
Ketika ini, perbincangan melibatkan KSM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Terdahulu, Zahid turut mengingatkan syarikat p-panggilan dan e-panggilan agar tidak menzalimi penggiat gig yang menjadi faktor utama bagi syarikat mengaut keuntungan.
“Kita tahu bahawa pengusaha ekonomi gig ini adalah orang yang kaya bertambah kaya, tapi penggiat gig hanya diberikan upah yang sangat ciput.
“Saya ingin ingatkan majikan, jangan tekan pekerja gig. Jangan zalimi pekerja gig. Jangan tidak peduli pada pekerja gig. Nasib pekerja gig mesti dibela oleh majikan.
“Tanpa pekerja gig, syarikat tidak akan maju,” katanya.