Dakwaan rumah Anwar milik tauke Cina, SPRM belum terima aduan Chegubard

Dakwaan rumah Anwar milik tauke Cina, SPRM belum terima aduan Chegubard

Setakat ini SPRM belum menerima sebarang aduan rasmi atau memorandum daripada Chegubard.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan pihaknya belum menerima aduan rasmi daripada Chegubard atau mana-mana pihak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan belum menerima aduan rasmi daripada Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard berhubung dakwaannya terhadap pemilikan kediaman Anwar Ibrahim di Sungai Long, Kajang.

Sumber SPRM itu berkata, Chegubard menyatakan hasrat menyerahkan memorandum Selasa lalu di pondok keselamatan SPRM Putrajaya selepas sidang media, namun enggan masuk ke dalam premis selepas diminta untuk proses penyerahan.

“Individu tersebut enggan masuk dan maklumkan akan menyerahkan maklumat secara pos.

“Setakat ini SPRM belum menerima sebarang aduan rasmi atau memorandum daripada individu tersebut,” menurut sumber itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, ketika dihubungi turut mengesahkan pihaknya belum menerima aduan rasmi daripada Chegubard atau mana-mana pihak.

Selasa lalu media melaporkan, Chegubard hadir ke pejabat SPRM Putrajaya menggesa pihak berkuasa menyiasat pemilikan kediaman mewah perdana menteri di Sungai Long.

Beliau menggesa SPRM menyiasat perdana menteri dan mendakwa rumah yang didiami Anwar adalah milik “tauke Cina yang penuh misteri”.

Dalam sidang media diadakan selepas membuat laporan di ibu pejabat SPRM, Badrul turut membangkitkan isu Anwar menggunakan beberapa kereta mewah yang didakwa bukan milik pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Sankara Nair, peguam kepada Anwar kemudian menjelaskan rumah di Kajang yang dikaitkan milik taikun Cina sebenarnya aset pajakan selama 10 tahun pada 2020 hingga 2030, sebelum beliau menjadi perdana menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.