
Meskipun umum tahu Umno dan DAP berseteru sekian lama, Saarani mendedahkan tiada tekanan daripada DAP sejak kerajaan perpaduan terbentuk tujuh bulan lepas, selepas PRU15.
Sebaliknya, DAP termasuk pemimpin seperti Naib Pengerusi Nga Kor Ming dan Ex Officio Ngeh Koo Ham menyatakan sokongan penuh kepada beliau – ketua Umno Perak – sebagai menteri besar.
“Nga dan Ngeh ‘taiko’ (abang long) DAP di Perak. Merata mereka pergi mereka cakap ‘DAP beri sokongan penuh kepada Saarani’,” katanya ketika ditemubual FMT.
Saarani menepis tohmahan bahawa ketua Umno sepertinya menjadi boneka DAP atau tunduk kepada kehendak parti itu. “Tidak ada bukti ataupun kejadian… DAP tak pernah tuntut apa pun daripada saya.”
Menurutnya, pendekatan terbaik mengurus jemaah exco yang menghimpunkan empat pemimpin Umno dan DAP, serta dua daripada PKR dan seorang Amanah itu ialah menarik sokongan kepada satu-satu pandangan dengan hujah bernas dan logik.
“Setiap kali mesyuarat kalau pun ada pandangan yang berbeza tidaklah sampai menghempas fail yang dikatakan pernah berlaku zaman sebelum ini,” katanya.
Meskipun sesetengah pihak mengecam kerjasama ini, Saarani menganggap pengkritik tidak memahami keadaan sebenar di Perak.
Saarani berkata beliau menyahut tawaran PH, yang menunjukkan kesediaan dan kesungguhan untuk bekerja bersama BN dengan menawarkan jawatan menteri besar, exco, dan speaker Dewan Undangan Negeri.
“Siapa pun orang politik dia mesti menerima tawaran ini. Satu kumpulan lagi tiada tawaran langsung,” katanya, merujuk kepada Perikatan Nasional.
Saarani mengingatkan bahawa Sultan Perak ketika itu berharap kerajaan dapat dibentuk segera. “Sultan Perak yang sangat prihatin kepada rakyatnya tidak mahu wujud sebarang krisis.”
“Walaupun saya tahu saya akan dikecam, dikeji, dimaki hamun oleh orang yang tak faham situasi, tidak apa asalkan saya yakin bahawa keputusan itu betul kerana yang penting sebuah kerajaan perlu ditubuh segera,” katanya.
Perak menjadi negeri pertama yang membentuk kerajaan selepas PRU15, malah sebelum kerajaan persekutuan terbentuk.
Kerajaan campuran sebelum ini, antara BN dan PN, menyaksikan menteri besar ketika itu, Ahmad Faizal Azumu, tersingkir menerusi undi tidak percaya.