15,000 jawatan tetap perlu diisi setiap tahun, kata SPA

15,000 jawatan tetap perlu diisi setiap tahun, kata SPA

Bagi kekosongan jawatan secara kontrak pula dianggarkan mencecah 40,000 setiap tahun.

Jumlah kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam bergantung kepada keperluan jabatan, kementerian dan agensi.
JOHOR BAHRU:
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menganggarkan purata sebanyak 15,000 kekosongan jawatan tetap perlu diisi setiap tahun.

Pengerusinya Zainal Rahim Seman berkata bagi kekosongan jawatan secara kontrak pula dianggarkan mencecah 40,000 setiap tahun.

Beliau berkata jumlah kekosongan jawatan bergantung kepada keperluan jabatan, kementerian dan agensi.

“Angka kekosongan ini sentiasa ada naik dan kurang bergantung kepada jabatan, kementerian dan agensi. Purata anggaran hingga 15,000 kekosongan jawatan tetap sebab setiap tahun ada kakitangan awam pelbagai jawatan yang bersara.

“Dianggarkan kira-kira 25,000 hingga 30,000 kakitangan awam ini akan melalui tempoh persaraan setiap tahun dan kita isi (kekosongan) mengikut keperluan tertentu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Temu Duga SPA Johor Bahru di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

“Bagi jawatan baharu, bergantung kepada portfolio kementerian masing-masing. Contohnya ada kementerian yang perlukan jawatan baharu, terdapat isu lantikan seperti doktor kontrak ke jawatan tetap, ini semua bergantung kepada kementerian yang buat perancangan,” katanya.

Beliau berkata, Pusat Temu Duga SPA Johor Bahru ialah pusat temu duga keenam yang ditempatkan di UTC, selain di Ipoh, Perak; Georgetown, Pulau Pinang; Kangar, Perlis; serta Miri dan Kuching, Sarawak.

Tambah beliau, pusat temu duga berkenaan adalah antara pusat temu duga yang menerima kunjungan calon paling ramai sepanjang tahun.

“Pusat Temu Duga SPA Johor Bahru ini dilengkapi dengan enam bilik temu duga termasuk secara maya, sebuah bilik server (pelayan), sebuah bilik rehat panel temu duga, dan pantri serta dua ruang menunggu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.