
Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak berkata, polis menerima maklumat dari orang awam pada 11.15 malam berhubung satu pergaduhan membabitkan warga asing di bangunan rumah kedai kawasan itu.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, seorang lelaki warga asing berumur 27 tahun ditemukan berlumuran darah dan disahkan meninggal dunia.
“Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada mangsa memprovokasi rakan senegaranya dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan pergaduhan.
“Akibat pergaduhan ini mangsa dikelar di leher sebelah kanan dan meninggal dunia di lokasi sebelum mayat dirujuk ke Hospital Sultanah Ismail (HSI),” katanya dalam satu kenyataan, menurut Harian Metro.
Sohaimi berkata, anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Seri Alam dan Balai Polis Desa Cemerlang kemudiannya berjaya menahan dua lelaki warga asing pada 12.10 tengah malam tadi.
Katanya, dua suspek berusia 39 dan 40 tahun itu ditahan dalam tempoh 24 jam di sekitar kawasan bangunan kedai Taman Desa Cemerlang.
“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Kita merampas tiga pisau terdapat kesan darah dan satu minuman keras, selain menemukan 13 kesan darah di tempat kejadian dan pada badan suspek.
“Kedua-dua mereka direman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.