PN guna sensasi politik kerana tak mampu pertikai dasar kerajaan, kata Fahmi

PN guna sensasi politik kerana tak mampu pertikai dasar kerajaan, kata Fahmi

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, pemimpin PN tidak dapat mencari kesilapan dalam dasar Putrajaya.

Fahmi Fadzil yakin keputusan PRN di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan mencerminkan kepuasan rakyat terhadap pentadbiran negeri semasa.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) terpaksa menggunakan sensasi politik kerana tidak dapat mengkritik dasar kerajaan perpaduan atau melontarkan alternatif sendiri yang lebih berdaya maju, kata jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil.

Dalam wawancara bersama FMT, menteri komunikasi dan digital itu berkata, pakatan pembangkang tidak dapat mencari kesilapan dalam banyak inisiatif diperkenalkan pentadbiran Anwar Ibrahim.

“Sebagai contoh, inisiatif Jualan Rahmah membantu (pengguna) jimat 30% hingga 40% daripada perbelanjaan biasa mereka untuk barangan runcit. Kita juga meningkatkan bantuan e-Tunai Belia Rahmah untuk pelajar institusi pengajian tinggi kepada RM200 daripada RM150 (di bawah ePemula) sebelum ini.

“Tetapi, PN tidak menjadikan inisiatif ini sebagai isu kerana mereka tahu tidak boleh mempertikaikannya.”

Akibatnya, beliau berkata, pemimpin PN akhirnya membuat kenyataan sensasi dalam talian, memohon maaf sebelum memadam catatan mereka di Facebook.

“Ini bukan tanda kepimpinan yang bertanggungjawab ataupun matang,” katanya.

Fahmi berkata, siasatan berterusan polis terhadap Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan didakwa menyentuh kaum, agama dan institusi diraja (3R) adalah contoh utama gaya politik kontroversi PN.

Hadi disiasat atas dakwaan DAP meneruskan rancangan yang didakwa dibuat penjajah British untuk memusnahkan ketuanan Melayu dan Bumiputera dengan bantuan orang Melayu yang sudah lupa asal-usul mereka.

Fahmi turut merujuk isu pendakwah PAS, Syeikh Zainul Asri Romli terpaksa memohon maaf kerana melabelkan saingan parti Islam itu sebagai “musuh Allah”.

Beliau berkata, rakyat akan mendapat perkhidmatan lebih baik jika calon pilihan raya fokus mengemukakan hujah dasar bijak dan berfaedah.

“Teguran saya bukan hanya kepada PN, tapi kepada semua, titah raja-raja dengan jelas mengatakan sempena PRN ini, elaklah daripada menyentuh 3R, (iaitu) perkauman sempit, agama yang keterlaluan dan juga menyentuh isu institusi raja-raja.

“Bagi saya, kita bertanding dengan sihat, kita elakkan daripada 3R dan fokus kepada isu dasar, hujah yang matang.”

Beliau juga menolak tanggapan PRN pada 12 Ogos ini dianggap pungutan suara terhadap kepimpinan Anwar, sebaliknya keputusan PRN akan dilihat sebagai cerminan prestasi setiap pentadbiran negeri sepanjang lima tahun lepas.

Beliau yakin keputusan PRN di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan memihak kepada mereka memandangkan rakyat berpuas hati dengan pentadbiran di tiga negeri itu.

“PH melaksanakan kebanyakan janji dalam manifestonya dan kita dapat melihat pertumbuhan ekonomi ketara di negeri-negeri ini,” katanya.

Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor akan keluar mengundi pada 12 Ogos. Pencalonan akan diadakan pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.