Pemimpin negeri persoal kenapa MIC lepaskan kerusi penyandang

Pemimpin negeri persoal kenapa MIC lepaskan kerusi penyandang

Seorang pemimpin negeri meminta kepimpinan MIC mempersoalkan kewajaran melepaskan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lepas.

DUN Jeram Padang dimenangi MIC sejak 1995. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin negeri MIC meminta kepimpinan parti menimbang semula keputusan tidak menyertai PRN enam negeri, mempersoalkan kewajaran melepaskan kerusi yang disandang.

Mengambil contoh DUN Jeram Padang di Negeri Sembilan, pemimpin yang minta tidak dinamakan itu berkata MIC sepatutnya bertanding di kerusi yang berjaya dipertahankan sejak 1995 itu, meskipun berdepan pelbagai gelombang politik.

Tegasnya, MIC berpotensi mengekalkan rekod tanpa kalah di situ dengan sokongan Umno dan Pakatan Harapan pada PRN akan datang.

“Kenapa Jeram Padang tak bertanding?.. Majlis Tertinggi MIC kena jelaskan kenapa tak kekalkan kerusi itu,” katanya kepada FMT.

MIC mempertahankan Jeram Padang menerusi M Sundram (PRU9), T Rajagopalu (PRU10), L Krishnan (PRU11), VS Mogan (PRU12), dan L Manickam pada PRU13 dan PRU14.

Pada kedudukan sekarang, MIC menduduki enam kerusi Dewan Undangan Negeri (Jeram Padang, Sabai, Gadek, Kemelah, Kahang, dan Tenggaroh); serta satu kerusi Parlimen (Tapah).

Timbalan Presiden MIC M Saravanan mengumumkan MIC memberi laluan kepada Umno untuk bertanding pada PRN bulan depan, kerana peluang parti itu untuk menang lebih cerah.

Pemimpin yang dihubungi FMT itu berkata keputusan MIC tidak mempertahankan Jeram Padang memberi gambaran tidak enak mengenai kedudukan parti dalam kerajaan perpaduan.

“Kalau MIC bertanding jentera lain tak sokong ke macam mana?” soalnya. “Anda (pucuk pimpinan) perlu jelaskan betul ke seluruh kerajaan perpaduan ini terima MIC atau sebab kita tandatangan akuan berkanun?”

Beliau berpandangan MIC wajar mengadakan mesyuarat agung khas bagi mendengar suara akar umbi berhubung masa depan parti.

“Mesyuarat agung paling tepat untuk buat keputusan sama ada kekal bersama Barisan Nasional dan kerajaan perpaduan atau keluar,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata BN tidak wajib memberikan kerusi yang dimenangi MIC pada pilihan raya lepas, memandangkan ia hanya dapat dipertahankan dengan sokongan pengundi Umno.

“Kerana kerusi MIC itu ‘ehsan’ pengundi Umno… nak harapkan pengundi MIC mereka tidak ada penyokong ramai yang membolehkan calon mereka menang,” katanya.

Azmi Hassan berkata agihan kerusi pilihan raya kali ini terpaksa mengambil kira percaturan masa kini yang melibatkan gabungan-gabungan lain.

“Kalau tak berkongsi dengan PH mungkin tiada masalah untuk berikan kerusi itu kepada MIC tetapi sekarang terpaksa berkongsi dengan PH,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.