PAS tak boleh diam diri berhubung Sanusi, kata pemimpin PKR

PAS tak boleh diam diri berhubung Sanusi, kata pemimpin PKR

Majlis Syura dan Jawatankuasa Pusat PAS digesa membuat keputusan segera berhubung kenyataan 'celupar' Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor.

PAS perlu memandang serius tuntutan seorang ahli Dewan Diraja Selangor agar Sanusi Md Nor memohon maaf, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.
PETALING JAYA:
Pemimpin PAS digesa supaya segera membuat pendirian mengenai “kata-kata celupar dan biadap” pengarah pilihan rayanya, Sanusi Md Nor berhubung Sultan Selangor.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, PAS perlu memandang serius tuntutan seorang ahli Dewan Diraja Selangor agar Sanusi memohon maaf.

Saifuddin berkata, Dewan Diraja Selangor juga telah membuat laporan polis, mencerminkan betapa seriusnya kenyataan Sanusi yang dibuat terhadap ketua negeri itu.

Dalam ucapan Sanusi yang tular, pemimpin PAS itu dilaporkan seolah-olah menyentuh tentang perkenan Sultan Selangor berkait pelantikan “menteri besar cokia (tiada kualiti)”, merujuk kepada Amirudin Shari.

Saifuddin menggesa Majlis Syura dan Jawatankuasa Pusat PAS membuat keputusan mengenai “kata-kata celupar dan biadab Sanusi terhadap Sultan Selangor”.

“Berdiam diri bukan lagi satu pilihan atau parti Islam itu (akan) dilihat bersetuju dengan penghinaan terhadap institusi raja-raja Melayu,” katanya kepada FMT.

Saifuddin berkata, episod ini patut menjadi pengajaran kepada semua bahawa perbezaan politik ada batasnya.

“..Tidaklah sampai menghina sesama sendiri, apatah lagi institusi raja-raja Melayu yang sangat dihormati kedudukan dan peranannya di negara kita,” tambahnya.

Semalam, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin mengingatkan Sanusi, yang juga menteri besar Kedah, agar “menjaga mulut di pentas politik”.

Hari ini, ahli Dewan Diraja Selangor Emran Kadir berkata, kenyataan Sanusi dianggap menghina institusi beraja di Selangor, memandangkan Sultan mempunyai prerogatif dalam pelantikan menteri besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.