
Faizal berkata seperti contoh Bersatu, parti itu tidak memberi keistimewaan kepada seseorang yang memegang jawatan untuk menjadi calon, sebaliknya mengambil kira pelbagai faktor lain antaranya dikenali di kawasan hendak ditandingi.
“Kalau nak kira jawatan, saya sekarang ni dah tewas (PRU15) tentulah dapat keistimewaan selaku timbalan presiden Bersatu dan timbalan pengerusi PN.
“Tetapi kita tak fikir pun tentang kedudukan saya dalam pilihan raya akan datang, itu bukti jelas PN dan Bersatu bukan pilih calon ikut hierarki,” katanya kepada FMT.
Jelas Faizal, Zuraida sebagai bekas ahli parti itu sepatutnya mengetahuinya sebelum mengeluarkan kenyataan menggesa PN supaya memilih calon berdasarkan kelayakan bukan hierarki parti menjelang PRN dan PRK.
Kelmarin, Zuraida, bekas menteri PKR yang kini menyokong PN turut menggesa semua pihak dalam komponen itu mengenepikan perbezaan peribadi dan bersatu memilih calon boleh menang serta menjadi wakil rakyat yang baik.
Timbalan pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu memberi contoh Pengerusi MN Annuar Musa yang baharu menyertai PAS dan tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti, boleh mempertahankan Parlimen Kuala Terengganu pada PRK berdasarkan pengalaman luasnya.
PRK Kuala Terengganu yang perlu diadakan susulan pembatalan kemenangan PAS pada PRU15 oleh Mahkamah Pilihan Raya pada 27 Jun lalu mungkin berjalan serentak dengan PRN di enam negeri bulan depan.
Negeri terbabit adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah, dan Kelantan.