
Mohd Zin Mohamed menegaskan bahawa kerajaan perlu memberikan penjelasan yang “lebih terperinci dan jujur” mengenai keperluan projek itu, selain manfaatnya kepada rakyat dan negara.
“Apakah projek ini benar-benar dihidupkan semula setelah pembayaran pampasan kepada Singapura (sebanyak SGD102 juta)?” soalnya dalam kenyataan.
“Kebolehlaksanaan projek ini harus memberi keutamaan kepada kerjasama yang memberikan manfaat yang sewajarnya kepada Malaysia dan Singapura berdasarkan prinsip menang-menang.”
Terdahulu, Pengerusi MyHSR Corp Fauzi Abdul Rahman mengumumkan bahawa projek HSR itu akan diteruskan semula, dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.
Malaysia dan Singapura sebelum ini bersetuju untuk bersama-sama membangunkan projek sepanjang 350km bernilai RM110 bilion itu, yang memendekkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit.
Namun, pada 1 Jan 2021, kedua-dua negara mengumumkan penamatan projek itu apabila kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Dis 2020.
Pada Mac 2021, Malaysia mengumumkan membayar SGD102.8 juta kepada Singapura selaku kos yang ditanggung bagi pembangunan projek dan berkaitan pelanjutan penangguhannya.