Elak pengotor nafi kesalahan, PBT Johor terima kamera badan Oktober

Elak pengotor nafi kesalahan, PBT Johor terima kamera badan Oktober

Enam belas PBT di Johor akan menguatkuasakan kompaun serta-merta kepada pengotor, dengan individu boleh didenda RM50 hingga RM250 dan RM2,000 untuk syarikat.

Bagi peringkat permulaan, 20 penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru akan dibekalkan kamera badan bulan depan.
(Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penguat kuasa 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor akan dibekalkan kamera badan ketika bertugas di lapangan mulai Oktober ini bagi meningkatkan imej dan ketelusan kerajaan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Jafni Md Shukor, berkata bagi peringkat permulaan, 20 penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan dibekalkan peranti itu bulan depan.

Katanya, inisiatif itu membabitkan peruntukan RM15,000.

“Penggunaan kamera badan itu akan membantu PBT membuktikan perbuatan pesalah membuang sampah merata-rata, termasuk di kawasan sungai.

“Sebelum ini, pesalah tidak mengaku apabila dituduh melakukan pembuangan sampah. Namun, selepas ini mereka tidak boleh lagi menafikan kesalahan dilakukan,” katanya menurut Harian Metro selepas Majlis Pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas Sungai Tebrau 2035 di Johor Bahru.

Beliau berkata, 16 PBT itu akan menguatkuasakan kompaun serta-merta kepada pengotor, dengan individu boleh didenda RM50 hingga RM250, manakala RM2,000 untuk syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.