
Tajuddin Rasdi dari Universiti UCSI berkata Wan Fayhsal mesti menolak kenyataan Hadi terhadap bukan Islam dan bukan Bumiputera jika beliau ikhlas menyatakan Perikatan Nasional (PN) akan mempertahankan rumah ibadat agama lain sekiranya ia diancam.
“Wan Fayhsal boleh meyakinkan rakan gabungannya, PAS, untuk turut melakukan perkara yang sama dalam hal menghormati rumah ibadat orang lain.
“Dia juga boleh meyakinkan Hadi untuk menghormati kehormatan dan maruah penganut agama lain,” kata Tajuddin kepada FMT.
Ogos lalu, Hadi mencetuskan kontroversi apabila menyalahkan orang bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai punca gejala rasuah berleluasa selain merosakkan politik serta ekonomi negara.
Pada Isnin, Wan Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang, berkata PN akan mempertahankan rumah ibadat agama lain kerana ini dilihat sebagai “prinsip penting dalam politik Islam”.
Kenyataannya itu bagi mengulas laporan media berhubung amaran Pengerusi DAP Lim Guan Eng kepada pengundi Pulau Pinang bahawa PN akan memusnahkan tokong Buddha jika gabungan itu berkuasa, kenyataan yang dinafikan Lim.
Tajuddin berkata Wan Fayhsal sepatutnya tidak mempunyai isu meyakinkan Hadi atau PAS untuk menghormati orang bukan Islam kerana parti itu telah menunjukkan contoh dengan menghormati rumah ibadat agama lain sepanjang mentadbir Kelantan.
Johan Ariffin Samad, ahli kumpulan bekas penjawat awam kanan G25, berkata masalah terbesar dalam politik Malaysia ialah agama digunakan untuk “mengancam satu sama lain demi keuntungan satu sama lain”.
“Ia berbahaya dan percikan api kecil boleh mencetuskan kebakaran besar, membawa kepada huru-hara dan konflik perkauman. Ahli politik harus menjauhkan diri daripada menyemarakkan kebencian agama dan fokus kepada pembinaan masyarakat,” katanya.