
Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, dokumen disediakan bekas ketua pengarah pelajaran Murad Mohamed Noor pada 1972 disifatkan laporan paling berkesan memandangkannya dihasilkan secara sistematik dengan pemantauan profesor dari Universiti Berkeley Alan Wilson.
Katanya, laporan itu mengenal pasti faktor utama keciciran murid disebabkan isu ekonomi terutama selepas tragedi 13 Mei 1969 selain pendapatan isi rumah, taraf kelulusan ketua keluarga dan pemakanan tidak berkhasiat.
“Laporan itu turut menggariskan kesan jangkaan murid, minat murid terhadap sains dan matematik, jarak sekolah dengan murid,” kata Anuar dalam video di Facebooknya.
Anuar berkata, Laporan Murad turut mencadangkan beberapa langkah penyelesaian seperti pengecualian yuran untuk pelajar miskin, biasiswa, membina lebih banyak sekolah harian khususnya di luar bandar dan mewujudkan skim pinjaman buku teks.
Turut dicadangkan pelaksanaan Rancangan Makanan Tambahan, program kesihatan percuma dan penggabungan sekolah kecil bagi meningkatkan kecekapan pengurusan.
“Semua cadangan diambil perhatian oleh KPM selepas Laporan Murad dikeluarkan, namun tidak diperhebatkan pelaksanaannya sehingga kini,” katanya.
Menurut Anuar, pihak terbabit seharusnya mencontohi usaha pimpinan KPM ketika itu yang cuba menyelesaikan isu keciciran murid yang masih berlaku sehingga kini.
Tahun lalu, media melaporkan kaji selidik Jabatan Perangkaan pada 2019 mendapati 5.8% daripada 32 juta rakyat tidak pernah bersekolah atau tidak mempunyai pendidikan langsung.