Keputusan rayuan remaja kes kebakaran pusat tahfiz tunda 11 Sept

Keputusan rayuan remaja kes kebakaran pusat tahfiz tunda 11 Sept

Mahkamah sebelum ini menetapkan 14 Julai untuk membuat keputusan itu.

Seramai 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terbunuh dalam kebakaran pada 2017. (Gambar fail)
PUTRAJAYA:
Tarikh bagi Mahkamah Rayuan menyampaikan keputusannya berhubung rayuan seorang remaja yang didapati bersalah kerana membunuh 23 penghuni tahfiz dalam kebakaran pada 2017 di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, ditunda ke 11 Sept.

Mahkamah itu juga pada hari sama akan membuat keputusan berhubung rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan seorang lagi remaja terhadap pertuduhan sama tanpa memanggil dia untuk membela diri.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 14 Julai ini untuk membuat keputusan berkenaan. Tarikh itu telah dilapangkan.

Pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes ini dimaklumkan oleh mahkamah berhubung pertukaran tarikh itu menerusi surat bertarikh 20 Jun lalu.

Peguam Haijan Omar ketika dihubungi mengesahkan keputusan berhubung penjadualan semula tarikh itu.

Pada 11 Mei lalu tiga anggota panel Mahkamah Rayuan terdiri Abu Bakar Jais, Che Mohd Ruzima Ghazali dan See Mee Chun menetapkan 14 Julai untuk menyampaikan keputusan mereka berhubung rayuan itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya How May Ling, dan Haijan yang mewakili kedua-dua remaja itu.

Pada 17 Ogos 2020 remaja berumur 22 tahun itu disabitkan oleh Mahkamah Tinggi dengan kesalahan membunuh, dan remaja itu diperintahkan supaya ditahan di penjara selama diperkenankan Yang-di-Pertuan Agong.

Pada tarikh sama Mahkamah TInggi membebas dan melepaskan seorang lagi remaja berumur 22 tahun bagi pertuduhan sama tanpa perlu memanggil dia untuk membela diri.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua remaja berusia 16 tahun itu ketika kejadian, bersama seorang lagi individu tidak dikenali, didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 orang yang menghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 Sept 2017.

Pada pendengaran rayuan, Haijan berhujah bahawa tiada saksi yang memberi keterangan bahawa remaja itu membakar sekolah berkenaan, sambil menambah bahawa pihak pendakwaan hanya bergantung kepada keterangan mengikut keadaan untuk menyokong kes mereka.

Sementara itu, dalam rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan remaja kedua, How May Ling berhujah kebakaran itu pasti berpunca daripada lebih seorang pelaku kerana adalah mustahil untuk seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mengangkat dua tong gas seberat 28kg sekali gus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.