Dituduh ‘jual agama’, Baby Shima saman ketua Pemuda PAS Kuantan

Dituduh ‘jual agama’, Baby Shima saman ketua Pemuda PAS Kuantan

Penyanyi yang nama sebenarnya Nor Ashima Ramli turut memfailkan saman terhadap PU Syed.

Baby Shima memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Pemuda PAS Kuantan Abd Rahman Mat Noor.
PETALING JAYA:
Penyanyi Baby Shima menyaman Ketua Pemuda PAS Kuantan, Abd Rahman Mat Noor dan PU Syed berkaitan kata-kata memfitnahnya.

Menurut Berita Harian, Rahman pernah mendakwa penyanyi itu “menjual agama” kerana mengenakan tudung mengikut majlis tertentu.

PU Syed atau nama sebenarnya, Syed Mohd Bakri Syed Ishak pula didakwa memfitnah dan menuduhnya tidak mengerti “soal halal dan haram” berhubung penganjuran sesuatu konsert.

Writ saman dan penyataan tuntutan dibuat menerusi peguam penyanyi itu, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi di Mahkamah Tinggi Ipoh dan Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

“Kedua-dua tindakan terhadap individu yang dinamakan difailkan atas kausa tindakan saman fitnah (defamation) dan ‘malicious falsehood’ di bawah undang-undang ‘tort’.

“Setakat tarikh kenyataan ini, proses penyerahan kertas-kertas kausa kepada individu yang dinamakan di atas sedang dilaksanakan bagi maksud memenuhi keperluan undang-undang,” kata Noor Azfar.

Menurut Noor Azfar, Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli, tidak berhasrat memberi komen lebih lanjut buat masa ini.

Katanya, langkah itu diambil sebagai menghormati proses mahkamah serta pihak dinamakan belum menerima kertas kausa yang difailkan.

“Kami juga sudah menerima arahan untuk mengambil tindakan dalam masa terdekat ini terhadap beberapa individu dan syarikat lain yang terbabit menyalahgunakan nama anak guam kami bagi tujuan komersial,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.